PEMEGANG unit yang telah mempunyai akaun portal myASNB juga diminta untuk mengemas kini butiran peribadi ketika log masuk ke portal berkenaan.
Bisnes HM
bisnes@hmetro.com.my


PEMEGANG unit di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat unit amanah milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu mengemas kini butiran peribadi di mana-mana cawangan atau ejen ASNB jika mereka belum berbuat demikian sebelum ini.

Ini kerana ASNB telah menjadikan langkah mengemas kini butiran peribadi itu sebagai mandatori bermula 11 November 2019.

Pemegang unit yang telah mempunyai akaun portal myASNB juga diminta untuk mengemas kini butiran peribadi ketika log masuk ke portal berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, keperluan untuk mengemas kini butiran pemegang unit ini juga adalah selari dengan ketetapan pihak kawal selia industri untuk melindungi maklumat peribadi dan urus niaga pemegang unit.

“Langkah ini bertujuan memastikan ASNB mempunyai pangkalan data pemegang unit yang lengkap dan terkini dalam usaha syarikat untuk menambah baik produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada semua pemegang unit ASNB selain melindungi akaun mereka,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini,

Menurutnya, pangkalan data pemegang unit yang dikemas kini akan membolehkan ASNB memberi perkhidmatan lebih baik dan bernilai tambah kepada pemegang unit.

“Pemegang unit yang telah mengemas kini butiran peribadi juga boleh menggunakan kemudahan dalam talian yang kami tawarkan menerusi portal myASNB secara percuma termasuklah pelaburan tambahan, pelaburan bulanan automatik menerusi Auto Labur dan semakan urus niaga serta baki terkini,” katanya.

Selain itu katanya, dengan maklumat pemegang unit yang terkini, ASNB mempunyai keupayaan untuk mengesan dan melindungi akaun pemegang unit dari sebarang urus niaga mencurigakan dan pemegang unit juga boleh dihubungi apabila perlu.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohammad berkata, selaras dengan pelaksanaan program kemas kini butiran peribadi ini, pihaknya menjangkakan tempoh untuk berurus niaga di cawangan ASNB atau ejen ASNB akan mengambil sedikit masa berbanding biasa.

“Ini kerana pegawai kami perlu mengemas kini dan mengesahkan data peribadi pemegang unit secara masa nyata untuk disahkan sendiri oleh pemegang unit bagi memastikan tidak berlaku penipuan terutamanya oleh pihak ketiga.

“Langkah ini juga untuk memastikan perlindungan data peribadi pemegang unit sentiasa berada pada tahap tertinggi. Sehubungan itu, kami memohon supaya pemegang unit bekerjasama dengan memberikan maklumat yang betul supaya proses kemas kini ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Pemegang unit ASNB akan diminta mengemas kini 17 butiran peribadi termasuklah nombor telefon, alamat, pekerjaan dan pendapatan bulanan.

Ia hanya boleh dilakukan di cawangan atau ejen ASNB untuk mengelak sebarang penipuan terutamanya membabitkan penipuan identiti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:01 PM