RAKESH (berdiri, kiri) dan Quek (empat dari kiri) bersama Pasukan Serantau Carousell.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Pasaran pengiklanan dalam talian Carousell yang hadir dalam lapan pasaran di Asia menandatangani perjanjian untuk bergabung dengan 701Search perniagaan pengiklanan dalam talian Telenor Group yang memiliki Mudah di Malaysia.

701Search juga memiliki pasaran dalam talian iaitu Cho Tot di Vietnam dan OneKyat di Myanmar.

Berikutan penggabungan itu, Carousell dinilai lebih daripada AS$850 juta (RM3.5 bilion) dengan Telenor Group akan menjadi pemegang saham minoriti terbesar di pasaran pengiklanan itu dan memiliki 32 peratus daripada gabungan syarikat terbabit.

Ketua Pegawai Kewangan Carousell, Rakesh Malani berkata, urus niaga itu mengukuhkan kedudukan jenama terbabit sebagai peneraju pasaran pengiklanan dalam talian di Asia Tenggara.

Menurutnya, pihaknya kini berada dalam kedudukan baik bagi mempertingkatkan lagi perniagaan gabungan ini ke tahap seterusnya dengan pendapatan tahunan melebihi AS$49 juta (RM204 juta), perniagaan lebih 80 peratus margin kasar dan dua pasaran menguntungkan.

“2019 adalah tahun penting bagi Carousell dengan syarikat ini mencatatkan hasil yang belum pernah dicapai sebelum ini dalam pengembangan pasaran dan pertumbuhan hasil.

“Kami kini dalam usaha untuk memacu penyatuan pesat di rantau ini dengan penggabungan OLX Filipina pada awal tahun ini dan 701Search pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carousell, Quek Siu Rui berkata, penggabungan dengan 701Search itu akan membolehkan pihaknya untuk meneruskan misi bagi menggalakkan setiap individu menjual dan membeli pada skala lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 9:17 AM