PEKERJA kebun sayur melihat hasil tanaman berdekatan Kampung Pos Terisu di Cameron Highland.
Oleh Nora Mahpar
bisnes@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Sektor pertanian di Malaysia memerlukan pelan transformasi untuk meningkatkan sumbangannya kepada pertumbuhan negara.

Ini kerana bidang pertanian di negara ini masih dikuasai pekebun kecil dengan sebahagian besar petani adalah golongan berusia, selain tumpuan hanya kepada tanaman kelapa sawit.

Mengikut laporan Bank Dunia bertajuk Transformasi Pertanian dan Pertumbuhan Inklusif: Pengalaman Malaysia, walaupun kejayaan negara dalam bidang pertanian boleh dijadikan sebagai kajian kes untuk negara ekonomi sedang pesat membangun, usaha selanjutnya perlu jika Malaysia mahu sektor agrikultur mencerminkan ekonomi maju.

Pengurus Negara Bank Dunia ke Malaysia, Firas Raad berkata, tunjang transformasi struktur ekonomi negara adalah bidang pertanian.

“Tiada negara melaksanakan peralihan kepada status berpendapatan tinggi tanpa transformasi pertanian.

“Tanpa sebarang perubahan, akan berlakunya kelewatan transformasi ekonomi yang menjejaskan ekosistem ekonomi keseluruhan, kemiskinan, keselamatan makanan dan kebajikan penduduk bandar dan luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran laporan itu di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

Kajian itu hasil kerjasama antara Bank Dunia dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam pelbagai dasar terutama bidang pertanian yang menjadi tumpuan ketika ini.

Laporan itu turut menyatakan, kelapa sawit meliputi 75 peratus hasil tanaman dan kepelbagaian pertanian harus dipertimbangkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tanaman tunggal bagi melindungi sektor itu daripada kejutan luaran.

Menurut laporan sehingga 2017, nilai tambah pertanian bagi setiap pekerja di Malaysia adalah 45 peratus daripada purata dalam kalangan negara berpendapatan tinggi.

Firas berkata, jika transformasi pertanian terus tertangguh, ekonomi juga akan berdepan situasi sukar untuk beralih daripada status pendapatan menengah atas dan usaha untuk meningkatkan kemakmuran bersama antara komuniti luar bandar dan bandar mungkin akan turut terjejas.

Sementara itu, Saiful berkata, kerajaan serius dan akan terus memberi tumpuan kepada keperluan pembangunan sektor ini.

“Justeru, pertanian pintar dan bernilai tinggi telah dikenal pasti sebagai aktiviti pertumbuhan ekonomi utama seperti mana yang telah dilancarkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus bekerjasama untuk memperkayakan dasar pembangunan negara,” katanya.

Di sesetengah negara, isi rumah sektor pertanian menguasai pendapatan menengah yang lebih tinggi daripada isi rumah di sektor lain yang mencerminkan produktiviti lebih tinggi dalam pertanian berbanding sektor lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 10:16 AM