MOHAMAD menunjukkan empat perisa putu bambu di kios Putu Bambu World.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


SHAH ALAM: MD Foodstuff Sdn Bhd (MD Foodstuff) pengeluar produk makanan jenama MD Putu Bambu World berhasrat untuk mewujudkan 100 cawangan melalui pakej perniagaan terbaharunya iaitu kios mudah alih menjelang hujung tahun ini.

Pakej itu membolehkan orang ramai memulakan perniagaan francais makanan terbabit melalui pengenalan tiga jenis kios mudah alih ditawarkan pada harga mampu milik iaitu bermula serendah RM7,000 hingga RM12,000.

Pengarah Operasinya, Mohamad Hassan berkata, pengenalan pakej perniagaan itu bertujuan bagi memberi peluang kepada orang ramai memulakan perniagaan tanpa modal besar terutama dalam situasi ekonomi tidak menentu kini.

Menurutnya, pakej itu juga diwujudkan berikutan kesukaran dialami usahawan MD Putu Bambu World sebelum ini untuk mendapatkan kawasan perniagaan yang bersesuaian dan berhadapan dengan bayaran sewa tinggi.

“Kami optimis mampu meningkatkan bilangan cawangan francais kami melalui konsep terbaharu ini, sekali gus membantu sasaran jangka panjang memiliki 1,000 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya, di sini.

Beliau berkata, 26 cawangan baharu dibuka membabitkan lokasi di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan sejak pakej terbabit mula di perkenalkan pada September lalu.

“Kami melihat pakej ini mampu menarik orang ramai menjalankan perniagaan kerana ia mampu dimiliki dan menawarkan operasi yang mudah dengan margin keuntungan produk 100 peratus serta pulangan modal yang pantas,” katanya.

Sementara itu, MD Foodstuff bakal membuka kilang pengeluaran baharu milik sendiri di Rawang, Selangor pada tahun hadapan bagi terus memenuhi permintaan bekalan dalam kalangan usahawan francaisnya di seluruh negara.

“Pada masa ini, kilang terbabit masih dalam proses pembinaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya sebelum Aidilfitri tahun depan dengan kapasiti pengeluaran lima tan sehari serta memilik pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

“Sebelum ini, kami hanya menyewa di kilang sedia ada di Selayang yang memiliki kapasiti pengeluaran antara 400 hingga 500 kilogram sehari saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:29 AM