Nor Shamsiah Mohd Yunus. FOTO Asyraf Hamzah
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


MALAYSIA mencatatkan pertumbuhan ekonomi purata 4.6 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, secara keseluruhannya, pertumbuhan pada 2019 dijangka berada dalam unjuran dan kadar ini dilihat akan berterusan hingga tahun hadapan.

Beliau berkata, pertumbuhan berkenaan didorong terutamanya oleh aktiviti sektor swasta, khususnya perbelanjaan isi rumah yang turut disokong oleh perkembangan berterusan dari segi guna tenaga dan pendapatan.

“Pertumbuhan ekonomi negara menjadi sederhana kepada 4.4 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding suku sebelumnya, 4.9 peratus.

“Kadar berkenaan disebabkan oleh pertumbuhan sektor utama yang lebih rendah dan penurunan dalam aktiviti perlombongan dan pembinaan.

“Malah, kebanyakan komponen permintaan dalam negeri dan eksport bersih mencatatkan momentum pertumbuhan yang lebih perlahan. Berdasarkan pelarasan bermusim suku tahunan, ekonomi berkembang 0.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Sidang Media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Berdasarkan prestasi berkenaan, sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian adalah pemacu utama ekonomi bagi suku ketiga 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 1:45 PM