PLATFORM e-dagang catat hampir 10 juta pengunjung pada festival jualan 11.11. FOTO Aziah AzmeeSSS
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang terkemuka Asia Tenggara, Lazada mencatatkan pencapaian baharu bagi festival jualan 11.11 dengan hampir 10 juta lebih pengguna serta lebih sekali ganda jumlah penjual di seluruh rantau berbanding tahun lalu.

Malah, sebanyak 26 jenama mencatatkan jualan lebih AS$1 juta di seluruh rantau pada jualan 24 jam itu di Lazada.

Di samping itu, lebih 4,000 penjual mencatatkan nilai jualan lebih AS$10,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group, Pierre Poignant berkata, apabila lebih ramai pihak mengetahui mengenai festival 11.11 ini, maka penjual yang akan menyertainya juga meningkat seterusnya pengguna mempunyai lebih banyak pilihan mendapatkan keperluan masing-masing.

“Platform utama e-dagang ini gembira bahawa lebih 10 juta pengguna telah memilih kami sebagai destinasi utama mereka pada festival beli-belah terbesar di dunia itu.

“Prestasi pecah rekod Lazada 11.11 menandakan pasaran pengguna Asia Tenggara adalah kukuh dan mencerminkan kerancakan ekonomi Internet,” katanya.

Jualan 11.11 itu turut menonjolkan infrastruktur terkemuka Lazada memandangkan ia berjaya menguruskan pesanan dalam jumlah yang tinggi.

Tahun ini, penghantaran paling cepat di Asia Tenggara dibuat dalam tempoh 80 minit iaitu di Malaysia dan lebih 1.5 juta item barangan dihantar dari gudang Lazada di seluruh Asia Tenggara dalam tempoh 24 jam.

Acara berkenaan juga menyaksikan penggunaan e-dompet meningkat dengan seorang daripada tiga pembeli Lazada Malaysia menggunakan e-dompet sebagai pilihan pembayaran.

Sementara itu, Alibaba Group Holding Ltd mengumumkan ia mencatatkan nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak AS$38.4 bilion pada festival sama, peningkatan 26 peratus daripada angka yang dicatatkan pada 2018.

Presiden Taobao dan Tmall, Fan Jiang berkata, festival itu menunjukkan aliran masa depan bagi jenama dan pengguna.

“Kami sedang memenuhi permintaan pengguna China dan membantu mereka memperbaiki gaya hidup, serta pada masa sama memperkenalkan pengguna baharu dari seluruh China dan dunia kepada ekonomi digital kami,” katanya.

Tumpuan penting daripada prestasi festival beli-belah dalam talian global itu termasuk GMV yang dijanakan menerusi Alipay mencecah US$1 bilion dalam tempoh satu minit dan lapan saat, manakala dalam tempoh sejam pertama, GMV adalah US$12.0 bilion.

Terdapat lebih 200,000 jenama yang menyertainya selain satu juta produk baharu dilancarkan bagi acara itu.

Sejumlah 299 jenama mencatatkan lebih US$14.3 juta manakala 15 jenama merekodkan GMV sebanyak US$143.0 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 7:09 AM