hmdigital

KUALA LUMPUR: Pameran hartanah, MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) kini menjelajah ke Perak dengan menawarkan promosi hebat daripada pemaju yang menyediakan pelbagai jenis kediaman sekitar negeri ini.

Malah, buat pertama kalinya acara ini dikenali sebagai MyRumah Perak-Ku sebagai sebahagian kerjasama dijalin sempena Ekspo Antarabangsa Peak (PIEX), yang bermula 14 hingga 17hb November ini di Stadium Indera Mulia Ipoh, Perak.

Pengurus Besar Jualan Pengiklanan, Agensi dan Korporat NSTP, Roche Chew berkata, pameran di Hall A, Stadium Indera Mulia menampilkan enam pemaju perumahan bereputasi tinggi yang akan menawarkan pelbagai kediaman pada harga mampu milik.

“Antara pemaju yang menyertai acara ini adalah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, Casa Subang Sdn Bhd, Sunway Property Sdn Bhd, Kinta Properties Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd.

“Pengunjung boleh memilih kediaman yang diidamkan menerusi pelbagai projek pembangunan kendalian pemaju kerajaan dan swasta di mana setakat ini, kami difahamkan ada rumah ditawarkan pada harga serendah RM160,000,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, lebih menarik lagi, pembeli kediaman yang permohonan pembiayaannya diluluskan berpeluang memenangi kereta Nissan Almera melalui MyRumah Grand Lucky Draw selain beberapa cabutan MyRumah Passport Lucky Draw yang turut diadakan sepanjang tiga hari acara dengan tawaran pelbagai hadiah menarik.

Menurutnya, selain kediaman baru, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai pengisian dan aktiviti menarik untuk seisi keluarga dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ia membabitkan sesi ceramah percuma berkaitan pemilikan rumah oleh pakar industri hartanah negara termasuk Ahyat Ishak, Azrina Torman, Izhairil Jufri, Dr Azizul Azli Ahmad dan selebriti NSTP, Maria Tengku Sabri.

Selain itu, MyRumah Perak-Ku turut disertai Amanah Raya Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas di mana pengunjung berpeluang mendapatkan sesi rundingan berkaitan produk dan perkhidmatan ditawarkan.

Kunjungi MyRumah Perak-Ku di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 14 hingga 17 November ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:55 AM