hmdigital

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak memerlukan pakej rangsangan ekonomi buat masa ini kerana kerajaan dilihat mampu menguruskan ekonomi dengan baik.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, Belanjawan 2020 mencukupi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dengan pendekatan yang mudah diterima yang dilaksana kerajaan.

“Apabila anda melabur wang, anda perlu memastikan membelanjakan wang itu sebaik mungkin.

“Kerajaan berhati-hati dalam memastikan ia mampu lakukannya, di samping melindungi penarafan hutang antarabangsanya dan melihat bagaimana Malaysia boleh terus maju dan memastikan negara menjadi negara maju,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan tinjauan global HSBC- Pelayar: Sekarang, seterusnya dan bagaimana di sini, semalam.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan mungkin mempertimbang mewujudkan pakej rangsangan ekonomi sekiranya keadaan ekonomi global menjadi perlahan tahun depan.

Pada masa sama, Milne berkata, Malaysia secara strategik adalah pasaran penting bagi HSBC kerana kumpulan perbankan ini melaksanakan pelbagai eksesais antaranya melabur, menambah lebih ramai pelanggan dan meningkatkan pasaran domestiknya.

“Kami mempunyai persekitaran perniagaan yang positif di sini dan meramalkan ekonomi Malaysia berkembang kira-kira 4.1 peratus pada 2020.

“Pertumbuhan 4.0 peratus adalah angka yang baik kerana pertumbuhan negara lain mencatatkan angka tunggal paling rendah. Malaysia menjana pertumbuhan konsisten 4.0 peratus dan ia tahap positif walaupun ada masalah perdagangan dan perlindungan,” katanya.

Milne berkata, kedudukan Malaysia yang strategik dalam rantaian bekalan global akan menyaksikan negara ini mencatat prestasi yang lebih baik dengan mata wang yang stabil dan prospek yang kukuh.

Sementara itu, perniagaan di Malaysia kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan mereka, di sebalik perkembangan geopolitik yang berlaku mengubah rantaian bekalan global.

Kajian global HSBC dilakukan terhadap 9,100 syarikat daripada 35 pasaran global termasuk 202 firma dari Malaysia.

Kaji selidik itu menyatakan lebih empat daripada lima (81 peratus) perniagaan menjangka jualan meningkat tahun depan berbanding rakan dagangan lain di seluruh dunia dan di Asia (79 peratus dan 77 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 7:16 AM