NG (kiri) pada majlis pelancaran kamera Panasonic Lumix S1H.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic Malaysia) berhasrat untuk terus mengukuhkan jenama kamera Lumix di pasaran negara ini melalui pengenalan produk terbaharunya, Lumix S1H.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Audio Visual dan Pemasaran Perkakasan Rumahnya, Ng Hong Ping berkata, pihaknya beraspirasi untuk meningkatkan penggunaan siri kamera Lumix dalam kalangan pengguna terutama golongan profesional, juruvideo dan sinematografi serta syarikat penerbitan di Malaysia.

“Kamera terbaharu ini juga disasarkan kepada golongan itu dan kami komited mengukuhkan kehadiran dalam pasaran kamera meskipun ia bersifat niche atau khusus.

“Untuk meningkatkan penggunaannya, kami merancang pelbagai aktiviti pemasaran termasuk mengadakan kolaborasi dengan institusi pendidikan tinggi dan sesi pertemuan dengan Duta Lumix S1H, David C Smith,” katanya pada majlis pelancaran kamera Panasonic Lumix S1H di sini.

Lumix S1H adalah kamera tanpa cermin lensa tunggal digital terbaharu dilengkapi sensor imej bingkai penuh yang menggabungkan kualiti video tahap profesional dan kamera tanpa cermin mobiliti tinggi.

Ia kamera pertama di dunia yang memiliki keupayaan rakaman video pada 6K/24p (nisbah aspek 3:2), 5.9K/30p (nisbah aspek 16:9) dan 10-bit 60p 4K/C4K.

Antara kelebihannya adalah ia memiliki prestasi rakaman video dengan kualiti sinema dan rakaman foto terbaik sebagai kamera digital.

Beliau berkata, pengenalan kamera itu diharap menjadi penyelesaian terbaik dalam kalangan jurukamera dan profesional di negara ini dalam menghasilkan klip video, filem pendek atau program televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 8:15 AM