Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


LEBIH banyak rumah mampu milik berharga kurang RM300,000 bakal dibina mulai tahun depan dengan penyertaan pemaju persendirian.

Ia secara tidak langsung memberi lebih banyak pilihan khususnya kepada mereka yang tergolong di bawah kumpulan 40 peratus pendapatan terendah (B40), 40 peratus pendapatan sederhana (M40) dan belia untuk memiliki kediaman sendiri.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui insiatif Projek Perumahan Mampu Milik Swasta menjangkakan kumpulan kedua yang disertai 15 hingga 20 pemaju persendirian akan mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan pada Januari 2020.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, inisiatif berkenaan dilakukan bagi memastikan lebih banyak projek rumah mampu milik dapat dibangunkan dengan kerjasama pemaju persendirian.

“Pemaju yang menyertai inisiatif ini mampu membangunkan projek perumahan dengan kos lebih berkesan dan meminimumkan keuntungan serta memenuhi syarat ditetapkan KPKT sebagaimana digariskan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

“Malah, ada pemaju yang menawarkan unit kediaman sehingga 1,200 kaki persegi walaupun saiz minimum yang ditetapkan adalah 900 kaki persegi,” katanya pada majlis prapelancaran Projek Perumahan Mampu Milik Swasta yang diadakan di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah, Jabatan Perumahan Negara, Jayaselan K Navaratnam.

Majlis berkenaan menyaksikan 11 pemaju menjadi kumpulan pertama menyertai Projek Perumahan Mampu Milik Swasta yang menawarkan 15 projek kediaman sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Melaka dan Terengganu.

Semua unit kediaman yang ditawarkan berharga di bawah RM300,000 dengan kemudahan tiga bilik tidur selain lokasi strategik yang boleh diakses dengan pengangkutan awam.

Zuraida berkata, walaupun projek ini dibangunkan di atas tanah milik pemaju, namun kementerian turut menilai lokasi yang dicadangkan sebelum memberi kelulusan.

“Kementerian perlu pastikan lokasi yang dipilih tidak terlalu jauh dari bandar, boleh diakses dengan pengangkutan awam selain berdekatan dengan kemudahan awam seperti sekolah.

“Kita tidak mahu pemaju membangunkan unit kediaman di lokasi yang tidak strategik kerana ia mungkin mengundang risiko unit tidak terjual,” katanya.

Semua unit kediaman ini dalam proses pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan hingga tiga tahun menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta mula dibuka untuk jualan mulai Mac 2020.

Melalui inisiatif ini, kementerian mensasarkan sebanyak 217,764 unit kediaman mampu milik dibangunkan pemaju swasta dalam tempoh 10 tahun, iaitu sebahagian daripada sasaran sejuta rumah mampu milik dibangunkan dalam tempoh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 6:39 PM
ZURAIDA ketika melawat gerai pameran perumahan di Majlis Pra Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik (Swasta) di Putrajaya.