SHIREEN (tengah) melancarkan TRAC 2019 bersama Yusli (tiga dari kiri), semalam.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Lapan daripada 10 syarikat senaraian awam terbesar Malaysia yang mencatatkan skor tertinggi dalam Laporan Ketelusan Korporat 2019 (TRAC 2019) adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) mengungguli senarai itu diikuti KLCC Property and Real Estate Investment Trust, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), AMMB Holdings Bhd, Unisem (M) Bhd, MISC Bhd dan Sime Darby Bhd.

Ia diikuti tiga syarikat milik PETRONAS iaitu Petronas Chemicals Group Bhd, Petronas Gas Bhd and Petronas Dagangan Bhd.

Laporan itu mendapati Malaysia berada pada landasan tepat mengekalkan kawalan antirasuah dalam sektor korporat.

Ia terbukti apabila 100 syarikat senaraian awam terbabit dalam TRAC 2019 meraih skor yang lebih baik berbanding skor ‘0’ membabitkan 74 syarikat pada 2017.

Presiden Institut Tadbir Urus Korporat (MICG), Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, 100 syarikat senaraian awam utama di Bursa Malaysia akan menerajui aspirasi ke arah identiti negara berintegriti.

Katanya, pembabitan sektor korporat itu selaras sokongan institut itu kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang turut membabitkan sektor korporat.

“MICG menyokong penuh aspirasi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang bukan terkenal dengan rasuah tetapi integritinya,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Ketelusan Korporat 2019 (TRAC 2019) di sini, semalam.

TRAC 2019 dilancarkan Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen.

Mengulas mengenai TRAC 2019, Yusli berkata, laporan itu mencerminkan agenda nasional dalam membanteras amalan rasuah terutama menerusi pengenalan liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019 yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2020.

Katanya, penilaian tahun ini menjurus kepada laporan program antirasuah syarikat yang mencatat angka dimensi rendah pada 2017.

“TRAC 2019 usaha berterusan MICG. Pada 2017, kami menerbitkan laporan pertama yang memberi tumpuan kepada tiga dimensi iaitu program antirasuah, ketelusan dan kemampanan.

“Tahun ini, penilaian berdasarkan laporan tahunan syarikat, laman web dan data lain diperoleh daripada domain awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 6:51 AM