GAMBAR HIASAN
Bisnes HM

KUALA LUMPUR: Operator telekomunikasi di Malaysia mampu menjana pendapatan tahunan sebanyak RM3.76 bilion (AS$900 juta) setahun bermula pada 2025 sekiranya mereka mula melaksanakan perkhidmatan teknologi 5G.

Berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh peneraju teknologi global, Cisco, ia mendapati usaha berkenaan dapat meningkatkan kelajuan 5G sehingga 50 kali lebih pantas, 10 kali lebih responsif dan sambungan kuasa yang jauh lebih rendah daripada 4G.

Menurut kajian berkenaan, perkara terbabit akan dipacu oleh gabungan tiga ciri unik iaitu, pemprosesan tinggi, tempoh penghantaran data dan sambungan kuasa yang rendah.

Berdasarkan laporan itu, kelajuan, latensi yang rendah dan sambungan yang dipertingkatkan akan membantu operator telekomunikasi untuk menyediakan perkhidmatan Internet yang sangat pantas kepada pengguna.

Perkara terbabit sekali gus dapat mempercepatkan pengkomersialan beberapa penggunaan 5G seperti bandar pintar, Industri 4.0 dan penyebaran Internet Benda (IoT) skala besar yang membolehkan syarikat telekomunikasi meningkatkan perolehan dari segmen pengguna dan perniagaan.

Selain itu, operator telekomunikasi juga dilihat bersedia untuk melaksanakan perkhidmatan 5G dan dijangka melabur sekitar RM41.83 bilion (AS$10 bilion) untuk membangunkan infrastruktur 5G di rantau ini menjelang 2025.

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Albert Chai berkata, komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan teknologi 5G dapat dilihat melalui peruntukan Belanjawan 2020 seperti geran RM50 juta bagi pembangunan ekosistem 5G.

Selain itu, katanya, terdapat juga peruntukan tambahan RM25 juta bagi mempromosi projek rintis aplikasi digital untuk gentian optik dan infrastruktur.

“Perkara ini telah dilengkapkan oleh projek oleh sektor awam-swasta yang akan melihat kes penggunaan teknologi 5G yang dilancarkan di 32 tapak di enam negeri.

“Merentasi perniagaan di seluruh negara, khususnya dalam sektor seperti pengeluaran, kami juga melihat untuk memanfaatkan kemajuan dalam Industri 4.0.

“Pengguna juga dapat menikmati pengalaman yang dipertingkatkan dengan penggunaan kandungan pada peranti peribadi mereka,” katanya.

Kajian yang bertajuk 5G in Asean: Reigniting itu turut menyatakan bahawa pertumbuhan permulaan servis 5G dijangka diperoleh daripada pelanggan dan alat bernilai tinggi serta langganan akan berkembang menjadi lebih murah.

Selain itu, kajian itu turut menjangkakan penembusan 5G adalah sekitar 25 hingga 40 peratus di negara utama di rantau ini menjelang 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 12:07 PM