IZHAM (tiga dari kanan) pada pelancaran kempen Fly Malaysia di World Travel Market, London.
Bisnes HM

MALAYSIA Airlines melancarkan kempen Fly Malaysia di World Travel Market, London bagi meraikan sejarah kebanggaan negara selain meyakinkan status syarikat penerbangan sebagai ikon kebangsaan.

Kempen berkenaan yang berlangsung hingga Disember 2020 itu antara lain menampilkan pelbagai aktiviti untuk mempromosi Malaysia di pasaran luar bagi meningkatkan ketibaan antarabangsa dan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Izham Ismail berkata, kempen berkenaan adalah inisiatif yang menyokong Tahun Melawat Malaysia 2020 di mana dianggarkan 30 juta pelancong akan tiba di Malaysia tahun depan.

“Malaysia Airlines membawa penumpang di udara lebih 70 tahun dan kami teruja menanti kehadiran lebih ramai penumpang pada 2020 dan tahun mendatang untuk merasai pengalaman di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, turut memanjangkan kerjasama dengan Tourism Malaysia sepanjang tahun depan termasuk dengan kerajaan negeri seperti Sarawak Tourism Board.

“Malah, Malaysia Airlines turut menjadi Rakan Penerbangan Global untuk Malaysian Healthcare Travel Council (MHTC) dan siri perlumbaan SuperGT,” katanya.

World Travel Market adalah persidangan tiga hari yang mengumpulkan pemain industri, profesional dalam segmen pelancongan, wartawan, pelajar dan menteri pelancongan bagi membincangkan inovasi dan trend dalam industri berkenaan.

Tahun lalu, acara berkenaan berjaya meraih kontrak bernilai kira-kira £3 bilion (RM16 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 12:03 PM