TABUNG Haji mempunyai 9.4 juta pendeposit.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KEDUDUKAN kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) kembali kukuh dengan selesainya Pelan Penstrukturan Semula yang dilaksanakan pada Mei tahun ini.

TH dalam kenyataan hari ini berkata, ia dilakukan menerusi pemindahan aset tidak berdaya maju ke Syarikat Urusharta Jemaah Sdn Bhd (Urusharta Jemaah), syarikat tujuan khas (SPV), yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

Menurutnya, nilai aset yang dipindahkan tidak boleh dilihat secara berasingan tetapi dinilai secara menyeluruh kerana urus niaga itu bertujuan mengimbangi kembali jumlah aset dan liabiliti TH.

“Sebelum penstrukturan semula, liabiliti TH melebihi aset sebanyak RM10 bilion yang menghalang TH membayar hibah kepada pendepositnya.

“Semua aset yang dipindahkan ke SPV termasuk sebidang tanah di TRX, adalah sama ada aset yang nilai semasanya di bawah kos pelaburan atau aset yang tidak menjana keuntungan dan aset yang memberi pulangan rendah kepada TH.

“Terbitan Sukuk bernilai RM19.9 bilion oleh Urusharta Jamaah sebaliknya memberikan TH pulangan sebanyak empat peratus atau lebih kurang RM800 juta setahun,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, walaupun sesetengah aset dilihat mempunyai nilai di masa hadapan, TH perlu melabur sejumlah dana yang besar untuk pembangunan aset seperti projek kediaman mewah atau kompleks komersial yang dilihat tidak sesuai dengan pasaran semasa serta berisiko kepada dana pendeposit.

“TH mempunyai hak penolakan pertama untuk mendapatkan semula aset dari Urusharta Jemaah sekiranya aset itu memenuhi strategi perniagaan dan nilai tambah yang akan memberi manfaat kepada pendepositnya,” katanya.

Pada masa sama, TH terus memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi negara melalui portfolio pelaburan seperti pelaburan secara langsung menerusi anak syarikat miliknya dan segmen hartanah.

Menurut TH, prestasi anak syarikatnya yang memberangsangkan termasuklah Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia).

Katanya, Bank Islam mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM437 juta dan Takaful Malaysia mencatat keuntungan yang dijana sebanyak RM322 juta bagi tempoh enam bulan pertama 2019.

Selain itu, TH Travel and Tours Sdn Bhd menjadi antara agensi pelancongan Muslim pilihan yang memberi khidmat kepada 1,044 jemaah haji dan 19,405 jemaah umrah pada 2018.

“BIMB Investment Management Bhd memperkenalkan Dana ESG Shariah BIMB, iaitu pengurus dana Shariah ESG terbesar di Malaysia dengan saiz dana melebihi RM900 juta di masa kini.

“TH terus mencari peluang pelaburan baharu dan akan melabur dengan cara yang bersesuaian dengan mengambil kira aspek profil risiko pendeposit,” katanya.

Setakat akhir Oktober, TH mempunyai seramai 9.4 juta pendeposit dan bilangan pendeposit yang belum menunaikan haji meningkat kepada 8.7 juta dengan nilai deposit berjumlah RM42.6 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 7:18 PM