MINYAK enjin motosikal Sprinta baharu dengan teknologi UltraFlex.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) melalui anak syarikatnya, Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) memperkenalkan minyak enjin motosikal Sprinta baharu dengan teknologi UltraFlex.

Ketua Pegawai Operasi PDB, Aadrin Azly berkata, minyak itu diuji prestasinya di dalam perlumbaan MotoGP bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) sejak Jun lalu di GP Belanda.

“Ia ditawarkan untuk kegunaan orang ramai yang diformulasikan bagi penunggang dan motosikal dalam pelbagai situasi keadaan jalan.

“Pada masa sama, ia memberi perlindungan menyeluruh terhadap enjin,” katanya pada majlis bersama media di sini, baru-baru ini.

Selain meningkatkan prestasi enjin termasuk pada RPM tinggi, ia membantu dalam mengurangkan enapan serta memenuhi piawaian alam sekitar global seperti Euro 5 dan Bharat Stage (BS) 6 di India.

Beliau berkata, Petronas Sprinta ditawarkan dengan empat varian daripada Sintetik Penuh dengan pilihan F900-10W-50, F900-10W-40 yang dijual pada harga RM67 untuk setiap 1 liter.

Menurutnya, minyak Sprinta separa sintetik melalui F700 SAE 15W-50 dan F700 SAE 10W-10 pula dijual pada harga RM35 dan akan berada di pasaran pada pertengahan bulan ini.

“Petronas turut menawarkan rangkaian minyak mineral dan separa sintetik skuter dijual pada harga RM15 hingga RM33.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 11:53 AM