MOHD Khairil (kiri) melancarkan Boost e-wallet berciri baru, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


AXIATA Digital eCode Sdn Bhd melalui jenama dompet digital (e-wallet) Boost berhasrat untuk meningkatkan jumlah penggunanya kepada 10 juta menjelang hujung tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, sasaran itu dilihat mampu dicapai berikutan pengenalan ciri terbaru bagi jenama dompet digital terbabit yang kini memiliki 4.8 juta pengguna dan 115,000 titik jualan peniagaan.

“Trend pembelian dalam kalangan masyarakat kini sudah berubah dan kita boleh lihat mereka kini beralih kepada platform e-dagang daripada pembelian secara tradisional ditambah kewujudan begitu banyak jenama dompet digital di negara ini.

“Platform dompet digital kami juga menyaksikan purata pembelian bagi setiap pengguna meningkat kepada RM258 seminggu pada masa ini berbanding hanya RM47 setiap minggu bagi tempoh 12 bulan lalu,” katanya pada media selepas pelancaran ciri terbaharu Boost di sini, semalam.

Sementara itu, Boost memperkenalkan tiga ciri terbaharunya iaitu BoostUP iaitu program ganjaran baharu, CashUP iaitu ciri simpanan baharu bagi pembelian dalam talian dan UnionPay QR yang membolehkan orang ramai menggunakan dompet digital itu di semua peniaga UnionPay International seluruh negara dan global.

Beliau berkata, ciri terbaharu itu membolehkan semua individu untuk terus melakukan transaksi tanpa tunai dan batasan di samping dapat menikmati ganjaran pengalaman tanpa tunai.

Menurutnya, BoostUP direka bagi memberi lebih banyak hadiah menarik dan komprehensif serta pengalaman gaya hidup yang tidak dapat dilupakan kepada pelanggan setia di atas pulangan tunai.

CashUP adalah ciri penjimatan baharu yang memberikan ransangan kepada pengalaman beli-belah dalam talian di mana pengguna boleh menikmati pulangan tunai secara automatik daripada rakan dalam talian Boost.

“Kedua-dua ciri iaitu BoostUP dan CashUp ini diperkenalkan dengan mekanisme mudah di mana lebih ramai pengguna yang melakukan transaksi dengan Boost maka lebih banyak ganjaran bakal dimiliki dan dalam masa sama, ia menyediakan cara yang mudah dan selamat untuk melakukan transaksi,” katanya.

Mohd Khairil berkata, perkhidmatan pembayaran QR UnionPay pula adalah ciri baharu yang akan memberi lebih pilihan dan akses kepada pengguna ke arah memudahkan penggunaan tanpa tunai dan pengenalannya juga akan membabitkan 11 juta peniaga UnionPay QR di 31 negara pada masa akan datang.

“Kesemua ciri ini diharapkan dapat menggalakkan pengguna baru dan sedia ada untuk melakukan transaksi tanpa tunai seterusnya menjadikan ia sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 2:13 PM