HASSAN optimis dengan pelaburan ekuiti terhadap syarikat di Malaysia pada tahun ini dan tahun depan.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


PERBADANAN Nasional Berhad (PNS) berhasrat meningkatkan peruntukan dana pelaburan ekuitinya sebanyak RM85 juta tahun depan berbanding RM75 juta tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Perniagaannya, Hassan Abdul Rahman berkata, peningkatan jumlah dana itu bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpotensi untuk terus berkembang dan pada masa sama memastikan ia mampu memberi pulangan berpatutan kepada PNS.

“Untuk tahun ini, kami melabur dalam beberapa syarikat dan peningkatan jumlah dana perlu dilaksanakan berikutan masih banyak potensi pelaburan ditawarkan syarikat tempatan di negara ini.

“Secara keseluruhan, kami optimis dengan pelaburan ekuiti terhadap syarikat di Malaysia pada tahun ini dan tahun depan namun kejayaannya masih bergantung kepada bidang diterokai dan situasi ekonomi semasa,” katanya kepada Bisnes Metro.

PNS melalui bahagian Pembangunan Perusahaan Sederhana (MED) menawarkan empat skim iaitu Mezanin, Pra-Tawaran Awam Permulaan (IPO), IPO dan Francais bagi membantu PKS tempatan untuk terus mengembangkan perniagaan masing-masing.

Skim pelaburan itu mula ditawarkan sejak penubuhan PNS pada 1998 dan ia selari dengan mandat diberi kerajaan iaitu membantu golongan usahawan menengah Bumiputera untuk berkembang.

Beliau berkata, pelaburan ekuiti satu segmen perniagaan utama PNS di mana ia menyumbang 40 peratus kepada pendapatan mereka dan ia instrumen yang penting dalam memastikan kelangsungan PNS melalui penjanaan pulangan berpatutan.

Menurutnya, PNS menyasarkan pelaburan terhadap syarikat berpotensi dalam sektor pembuatan, pendidikan, perkhidmatan dan penjagaan kesihatan serta lain-lain sektor yang memiliki potensi untuk dikembangkan.

“Untuk tahun ini dan tahun depan, kami masih kekal agresif untuk terus melakukan pelaburan meskipun dalam situasi ekonomi semasa namun kami perlu menilai syarikat dan bidang yang ingin diterokai sebelum memulakan sebarang aktiviti pelaburan baharu.

“Antara pelaburan berpotensi yang kami kenal pasti untuk masa ini membabitkan sebuah syarikat dalam sektor produk penjagaan kesihatan terkemuka dan ia bakal dimuktamadkan menjelang awal tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 1:15 PM