Syarifah Dayana Syed Bakri dan Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Segmen pinjaman perumahan kekal menjadi pemacu utama bagi pertumbuhan kredit untuk institusi perbankan selari dengan usaha bank tempatan dalam menyokong pemilikan rumah.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin berkata, dari Januari hingga Ogos tahun ini, jumlah pinjaman perumahan yang diluluskan bernilai RM113 bilion.

Beliau berkata, pinjaman perumahan itu dapat dimanfaatkan 260,000 pembeli rumah, berbanding 248,000 pembeli pada tempoh sama antara 2016 hingga 2018.

“Hampir 50 peratus pinjaman baharu diluluskan dalam kalangan pembeli rumah pertama mewakili 127,000 peminjam.

“Malah, 88,000 peminjam atau 69 peratus membeli hartanah berharga bawah RM500,000 dan 48,000 peminjam atau 38 peratus untuk harga rumah bawah RM300,000.

“Secara keseluruhannya, 70 peratus pendapatan institusi perbankan dirangsang aktiviti segmen pembiayaan dan pinjaman perumahan penyumbang tertinggi,” katanya pada taklimat media Hutang Isi Rumah dan Pembiayaan Rumah di Malaysia oleh BNM di sini, semalam.

Qaiser Iskandar berkata, kedudukan kewangan isi rumah Malaysia kekal berdaya tahan meskipun paras agregat hutang meningkat.


Qaiser Iskandar

Menurutnya, perkara itu terbukti menerusi nisbah rosot nilai pinjaman lebih baik kepada 1.3 peratus berbanding purata lima tahun sebanyak 1.5 peratus.

“Secara agregat, isi rumah terus berdaya tahan dengan kedudukan kewangan dalam keadaan terkawal,” katanya.

Mengulas lanjut, paras hutang isi rumah Malaysia menyederhana kepada 82.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding kemuncak 86.9 peratus pada 2015.

Bagaimanapun, katanya, dua pertiga daripada pinjaman isi rumah itu bagi tujuan mengumpul kekayaan terutama untuk membeli rumah dan sekuriti seperti unit Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Lebih separuh hutang isi rumah diperoleh bagi tujuan perumahan khususnya membeli rumah mampu milik dengan 84 peratus membabitkan pinjaman disediakan oleh pihak bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 9:00 AM