EXCHANGE 106 sedia tempat jenama terkemuka global penghujung 2020.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Menara ikonik baharu di Malaysia, Exchange 106 bersedia untuk menempatkan jenama terkemuka global beroperasi di bangunan itu dengan sasaran 50 peratus kadar kepenghunian pada penghujung 2020.

Pengurus Besar Pengurusan Hartanah, Mulia Property Development Sdn Bhd, Patrick Honan berkata, kadar kepenghunian bakal membabitkan ruang lantai seluas 1.3 juta kaki persegi yang dimuktamadkan serta beberapa lagi masih dalam rundingan.

Beliau berkata, penyewa Exchange 106 antara lain terdiri daripada firma perunding global Fortune 500, syarikat multinasional (MNC) tempatan dan luar negara serta jenama e-dagang terkemuka dunia.

Menurutnya, penyewa pertama menara ikonik terbabit dijangka mula memasuki bangunan terbabit Disember tahun ini.

“Buat masa ini ada tiga penyewa utama mendiami ruang pejabat antara lapan hingga 10 tingkat secara berperingkat pada suku pertama dan kedua tahun depan.

“Untuk ruang runcit pula, setakat ini ada lima penyewa dan kami harap ia meningkat antara 15 hingga 20 penyewa dari semasa ke semasa.

“Separuh daripada bangunan ini sudah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) sehingga tingkat 57 dan oleh sebab itu, buat masa ini kami memberi tumpuan kepada bahagian yang mendapat CCC,” katanya pada sesi dialog dan kunjungan media ke Exchange 106 di sini, semalam.

Dengan ketinggian 492 meter, Exchange 106 bangunan pejabat keenam tertinggi di dunia dan ia dibangunkan pemaju hartanah komersial terkemuka Indonesia, Mulia Property Development Sdn Bhd iaitu syarikat subsidiari Mulia Group.

Mempunyai reka bentuk yang bertaraf dunia, struktur mega berkenaan kini setanding hartanah terkemuka antarabangsa lain seperti The Shard, bangunan di Canary Wharf, London, One World Trade Centre New York, Amerika Syarikat (AS) dan Shanghai IFC.

Mengulas lanjut, Honan berkata, menara yang menjadi nadi pembangunan daerah kewangan dan perniagaan antarabangsa terkemuka ibu negara, Tun Razak Exchange (TRX) itu dijangka menarik lebih banyak MNC beroperasi di situ.

Menurutnya, perkara berkenaan turut menjadi pemangkin kepada MNC untuk mengalihkan hab operasi serantau ke menara ikonik itu dalam tempoh setahun setengah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:48 AM