AIRASIA mencatat peningkatan kapasiti sebanyak 17 peratus bagi tahun ke tahun dalam suku ketiga 2019. FOTO Saifullizan Tamadi.
Bisnes HM
bisnes@hmetro.com.my


AIRASIA Group Bhd mencatat peningkatan kapasiti sebanyak 17 peratus bagi tahun ke tahun dalam suku ketiga 2019 (Q3 2019) membabitkan gabungan pesawatnya dengan Sijil Pengendali Udara (AOC) yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, India dan Jepun.

AirAsia dalam kenyataan di Kuala Lumpur berkata, walaupun melaksanakan usaha peningkatan kapasiti secara agresif, permintaan kekal kukuh apabila jumlah penumpang yang dibawa bagi suku berkenaan meningkat sebanyak 20 peratus tahun ke tahun kepada 13 juta dan mencatat kenaikan dua mata peratusan (ppts) dari segi beban muatan kepada 84 peratus.

“Tempat duduk tersedia setiap kilometer (ASK) turut meningkat 16 peratus ketika kumpulan terus menumpukan usaha memperkukuh dominasi di pasaran dengan memperkenalkan laluan baharu dan menambah kekerapan sektor domestik dan antarabangsa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, AirAsia Malaysia mencatat peningkatan kapasiti sebanyak 10 peratus dan 11 peratus penumpang lebih banyak dalam suku di bawah kajian itu.

“Pertumbuhan penumpang juga melepasi purata industri apabila terus menerajui pasaran manakala, faktor beban muatan juga kukuh pada 83 peratus walaupun suku musim pelarasan lebih rendah,” katanya.

Dalam pada itu, kapasiti AirAsia Indonesia menokok 61 peratus pada Q3 2019 susulan penghantaran lapan pesawat pada Q4 2018 selain mencatat kenaikan 66 peratus penumpang berbanding suku sebelumnya.

Pada suku sama, AirAsia Indonesia memperkukuh kedudukannya di peringkat domestik menerusi pelancaran laluan baharu dan menambah kekerapan bagi laluan yang mendapat permintaan tinggi manakala, aspek faktor muatannya juga naik 3.0 ppts kepada 85 peratus.

Bagi AirAsia Filipina, kapasitinya meningkat sebanyak 19 peratus susulan pelaksanaan laluan antarabangsa baharu dan menambah kekerapan sektor domestik dan antarabangsa manakala, faktor muatan menokok secara ketara 9.0 ppts kepada 86 peratus, didorong oleh pertumbuhan kukuh penumpang sebanyak 33 peratus tahun ke tahun.

AirAsia Thailand pula mencatat peningkatan kapasiti dan penumpang masing-masing sebanyak 3.0 peratus dan muatan sebanyak 81 peratus.

ASK AirAsia Thailand juga meningkat 10 peratus tahun ke tahun susulan penambahan laluan baharu bagi sembilan bulan pertama tahun ini apabila kapasiti itu dipertingkatkan seiring dengan permintaan pada musim lebih rendah pada Q3 2019.

Dalam perkembangan lain, ia berkata, AirAsia India merekodkan peningkatan ketara bagi suku di bawah kajian itu dengan bilangan penumpang naik 47 peratus tahun ke tahun, melepasi pertumbuhan kapasiti 25 peratus bagi suku terbabit dan melonjakkan muatan sebanyak 14 ppts kepada 90 peratus.

AirAsia India turut mengakhiri suku berkenaan dengan memiliki 22 pesawat setakat ini dan menunggu kelulusan pengawalseliaan bagi penerbangan antarabangsa.

Selain itu, pertumbuhan kapasiti AirAsia Jepun melonjak 95 peratus manakala, ASK dicatatkannya naik 89 peratus susulan pelancaran laluan ketiga, Nagoya-Sendai dalam suku itu.

Faktor muatannya juga kukuh pada 84 peratus, disokong oleh pertumbuhan jumlah penumpang sebanyak 85 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 11:02 AM