SALAHUDDIN (lima dari kanan) bersama penerima anugerah selepas Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2019.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Agrobank menjangkakan jumlah pembiayaan keseluruhannya bakal melebihi RM11 bilion menjelang hujung tahun ini berbanding RM10.7 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar berkata, pihaknya yakin jumlah itu boleh dicapai melalui sumbangan semua sektor termasuk pertanian utama dan sasaran pertumbuhan dua angka yang ditetapkan tahun ini.

“Kami kini berada dalam landasan kukuh untuk bukan saja mencapai jumlah pembiayaan dan pertumbuhan dua angka itu pada tahun ini, malah mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu,” katanya pada majlis pengumuman pemenang Anugerah Agropreneur Agrobank 2019 (AAA 2019) di sini, semalam.

Hadir menyampaikan anugerah ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Timbalannya, Sim Tze Tzin.

Pada tahun lalu, Agrobank mencatatkan jumlah pembiayaan RM10.7 bilion iaitu melebihi sasaran awal iaitu RM10.5 bilion dengan pertumbuhan bernilai RM1.2 bilion berbanding 2017.

Mengulas mengenai skim pembiayaan mikro, Khadijah berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan melebihi lima peratus bagi tahun ini daripada jumlah pembiayaan yang disalurkan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM288 juta.

“Kami juga menjangkakan peningkatan jumlah pembiayaan bagi segmen ini dan mampu mencapai kadar pertumbuhan itu berdasarkan kadar sembilan peratus yang dicatatkan sehingga September tahun ini,” katanya.

AAA 2019 mempertandingkan tujuh kategori iaitu Anugerah Agropreneur Muda, Anugerah Agropreneur Mikro, Anugerah Agropreneur Orang Kurang Upaya (OKU), Anugerah Agropreneur Wanita, Anugerah Pelanggan Setia (Individu), Anugerah Pelanggan Setia (Syarikat) dan Anugerah Agropreneur Cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:38 AM