RIAD Asmat
Bisnes HM
bisnes@hmetro.com.my


AIRASIA menegaskan bahawa pihaknya tidak perlu untuk memenuhi permintaan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang meminta butiran lanjut mengenai kesesakan di kaunter imigresen terminal Klia2.

Ini kerana katanya, ia adalah tanggungjawab suruhanjaya berkenaan selaku badan yang dibiayai oleh rakyat untuk turun padang dan melakukan pemeriksaan serta menyiasat isu yang dibangkitkan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat berkata, isu berkenaan telah dibangkitkan secara terbuka dalam liputan berita serta media sosial dan Mavcom tidak seharusnya meminta bukti.

“Ia secara tidak langsung menunjukkan kelemahan dan kegagalan Mavcom dalam mengambil tindakan sewajarnya serta mengabaikan tanggungjawabnya dalam melindungi hak pengguna penerbangan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pihaknya berpandangan bahawa Mavcom perlu melihat sendiri situasi yang parah di kaunter imigresen pada waktu puncak.

“Mereka boleh datang pada mana-mana hari kerana kesesakan ini berlaku setiap hari, dan bukannya isu terpencil seperti yang didakwa.

“Kami juga kecewa kerana belum ada pegawai dari Mavcom termasuk Pengerusi Eksekutifnya yang sudi melawat ibu pejabat AirAsia RedQ, yang terletak bersebelahan Klia2 sedangkan ramai pelawat seperti pengawal selia dan penggubal dasar termasuk dari luar negara melawat kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai model penerbangan tambang rendah AirAsia,” katanya.

Riad berkata, sejak Mei 2018, Mavcom telah mengutip RM1 daripada setiap penumpang yang menggunakan semua lapangan terbang di Malaysia dengan anggaran lebih kurang RM30 juta.

Namun, sehingga kini, Mavcom masih belum menerbitkan Laporan Tahunannya untuk 2018.

“Mantan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi dalam pengumuman beliau mengenai pengutipan RM1 untuk caj pengawalseliaan oleh syarikat penerbangan bagi pihak Mavcom pada 2017, telah menyatakan bahawa caj pengawalseliaan ini wajar dikenakan kepada penumpang bagi perkhidmatan yang diberikan oleh Mavcom, termasuk pengurusan aduan dan aktiviti kesedaran pengguna di mana ia perlu diadakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, rakyat Malaysia perlu tahu bahawa Mavcom telah mengabaikan tanggungjawabnya dalam melindungi pengguna industri penerbangan yang telah membayar caj berkenaan.

“Kesesakan di kaunter imigresen Klia2 semakin teruk setiap hari dan menimbulkan masalah kepada penumpang kami. Atas kekecewaan ini, kami menulis kepada Mavcom dan meminta mereka membantu menyelesaikan masalah ini.

“Namun, ini bukanlah kali pertama Mavcom enggan bertindak ke atas aduan atau isu yang dilaporkan, dan kami pasti ia bukan yang terakhir.

“Tuntutan mahkamah berjumlah RM480 juta yang difailkan terhadap MAHB untuk kerugian isu operasi di Klia2 dua minggu lalu adalah keputusan yang terpaksa dilakukan atas sebab keengganan Mavcom menjadi pengantara seperti yang kami minta sebelum ini.

“Mavcom juga enggan menjadi pengantara dalam pertikaian antara AirAsia dan MAHB mengenai Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) di Klia2 sehingga memaksa Kabinet membuat keputusan untuk menurunkan kadar PSC bagi Klia2 dan lapangan terbang lain.

“Keengganan Mavcom ini jelas bercanggah dengan Seksyen 75 Akta Mavcom 2015 itu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:05 PM