ZURY Rahimee (kanan) bertukar dokumen dengan Azlan di Menara Bumiputra, Kuala Lumpur.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


GOLONGAN tanpa pendapatan tetap seperti petani, nelayan dan pemandu teksi kini berpeluang mendapatkan pembiayaan perumahan sehingga RM300,000 melalui skim Smart Mortgage-Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kendalian Bank Muamalat.

Melalui skim berkenaan, golongan sasaran dengan kelayakan gaji bersih minimum berjumlah RM1,000 berpeluang untuk memiliki rumah idaman dengan pembiayaan 100 peratus daripada harga belian.

Ketua Perbankan Konsumer Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal berkata, pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM70 juta melalui skim ini pada tahun pertama ia dilancarkan.

“Usaha ini diharap dapat membantu mereka yang mahu merealisasikan impian untuk memiliki rumah sendiri dan sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada golongan tanpa pendapatan tetap dan B40.

“Skim ini juga dilihat bertepatan dalam membantu mereka yang benar-benar berkelayakan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan perumahan dari pihak bank dengan jaminan oleh SJKP,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatagani memorandum perjanjian antara Bank Muamalat dan SJKP di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengurus Besar SJKP, Azlan Mohd Agel serta disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamaruddin dan Pegawai Utama SJKP, Chen Yin Heng.

Zury Rahimee berkata, pihaknya akan mempromosikan skim secara meluas bagi memastikan ia sampai ke golongan sasaran.

“Kami berharap skim seumpama ini akan mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan dan membantu golongan sasar supaya mereka dapat memiliki rumah idaman sendiri.

“Buat masa ini, tiada tempoh masa bagi penawaran produk ini kerana apa yang penting, inisiatif skim ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pelanggan Bank Muamalat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:07 PM