MATRADE harap larangan import minyak sawit Malaysia oleh India tidak berlaku.
Hazwan Faisal Mohamad
bisnes@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengharapkan larangan import minyak sawit Malaysia oleh India tidak akan berlaku kerana ia mampu memberi kesan kepada perdagangan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, ini kerana pada masa ini India adalah pengimport minyak sawit negara yang terbesar dengan dalam sembilan bulan pertama tahun ini, negara itu mengimport 3.9 juta tan minyak sawit Malaysia.

Katanya, setakat ini masih belum ada keputusan rasmi daripada kerajaan India mengenai perkara terbabit dan kerajaan menerusi Kementerian Industri Utama sedang memantau perkembangan berkenaan.

“Ini adalah sesuatu yang kami tidak mahu ia berlaku, dan maksud saya, bukan hanya di antara Malaysia dan India, tetapi di antara Malaysia dan negara lain dan juga di antara negara lain dengan negara lain.

“Sebaik dasar perlindungan dilaksanakan seperti perang perdagangan, inilah yang berlaku ketika ini. Ia tidak sihat untuk pertumbuhan perdagangan di peringkat global.

“Apabila berlaku perang perdagangan di antara dua negara, kita juga akan terjejas kerana ia akan mempunyai impak kepada
ekonomi dunia secara keseluruhan. Apabila ekonomi dunia menurun, permintaan akan berkurangan dan kita sebagai penjual, dalam kes ini minyak sawit akan terjejas,” katanya pada sidang media penganjuran Hari Eksport Kebangsaan (NED) 2019, semalam.

NED 2019 diadakan bertujuan membantu komuniti pengeksport Malaysia mengembangkan kehadiran mereka di peringkat global di tengah-tengah cabaran ekonomi dunia yang sedang meningkat.

Ia akan diadakan pada 24 Oktober ini dan dijangka akan menarik lebih 1,000 peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 7:08 AM