SEKTOR informal boleh dikaitkan dengan individu yang menjadi penjaja di tepi jalan, peniaga di pasar awam dan yang bekerja sendiri.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan untuk mengenakan cukai terhadap aktiviti ekonomi bayangan adalah wajar serta dilihat sebagai langkah tepat yang progresif dalam memperluaskan asas percukaian negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, ekonomi bayangan juga boleh didefinisikan sebagai aktiviti ekonomi informal yang tidak diisytihar atau didaftarkan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, disebabkan itu, sektor ekonomi terbabit mudah terlepas daripada sebarang pemantauan dan peraturan kawal selia daripada pihak berwajib.

“Secara umumnya, sektor informal ini boleh dikaitkan dengan individu yang menjadi penjaja di tepi jalan, peniaga di pasar awam dan yang bekerja sendiri.

“Namun, dalam konteks ekonomi digital masa kini, peniaga dalam talian boleh dikategorikan sebagai sektor informal, jika ianya tidak didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata, sektor ekonomi informal juga dilihat menjadi landasan kepada pemasaran produk syarikat berdaftar sekali gus membuktikan kewujudan rantaian bekalan antara sektor formal dan informal.

“Di negara-negara sedang membangun, kajian menunjukkan saiz sektor informal ini melebihi 40 peratus daripada saiz keseluruhan ekonomi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan kepada kerajaan untuk menggunakan kaedah penganggaran cukai ke atas perniagaan sektor informal berdasarkan pendapatan harian atau aset individu.

Selain itu, pihak berkuasa perlu main peranan penting serta pemberian insentif kepada peniaga sektor informal yang melaporkan aktiviti perniagaan secara sukarela.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 7:03 AM