SAIFUDDIN (kiri) dan Ritchie melihat barangan selepas merasmikan Pasaraya Tesco di Wangsa Walk.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd membuka cawangan ke-60 di Tesco Wangsa Walk yang menjadi rangkaian pertama menggunakan kaunter khidmat sendiri tanpa tunai dan dikendalikan sepenuhnya rakyat Malaysia.

Ia adalah cawangan pertama Tesco mengunakan kedua-dua aplikasi Scan & Shop serta menawarkan kaunter khidmat sendiri tanpa tunai sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata, cawangan pertama berukuran 2,000 meter persegi ini menandakan fasa baharu dalam strategi perniagaannya.

“Tesco Wangsa Walk dikendalikan 100 peratus rakyat Malaysia yang juga komitmen kami mewujudkan pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Cawangan ini adalah cawangan pertama kakitangan kami diajar kemahiran bermula daripada menguruskan inventori hingga cara penyimpanan stok yang betul.

“Di Tesco, kami tidak hanya percaya dalam berkhidmat kepada komuniti yang kami ada, tetapi menaikkan kemahiran rakan sekerja kami,” katanya pada majlis pembukaan Tesco Wangsa Walk di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sebelum ini, Tesco hanya mengendalikan cawangan besar berukuran lebih 3,000 meter persegi mengikuti peraturan tersedia kerajaan Malaysia untuk pengendali runcit asing, namun peraturan itu berubah tahun lalu.

Ritchie berkata, Tesco sekarang memfokus daripada pusat beli-belah kepada cawangan bersaiz lebih kecil iaitu Superstore untuk memberi banyak pilihan dan pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada pelanggan.

Aplikasi Scan & Shop membolehkan pelanggan mengimbas barangan membeli-belah mereka sendiri di cawangan Tesco.

Melalui aplikasi itu, mereka juga boleh menjejaki jumlah beli-belah dalam bakul yang akan membantu mereka menguruskan belanjawan.

Perkhidmatan ini boleh didapati di Tesco Kepong, Tesco Extra Ampang dan Tesco Wangsa Walk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 6:50 AM