JOHAN Mahmood bercakap pada Forum Belanjawan 2020 di Sasana Kijang BNM.
Nabil Basaruddin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Inisiatif cukai yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2020 pada minggu lalu memainkan peranan penting sebagai pemangkin untuk meningkatkan kecekapan sistem percukaian negara.

Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican berkata, pihak kerajaan juga terbuka untuk menerima sebarang cadangan daripada pakar percukaian sebagai usaha untuk memantapkan sistem itu.

Beliau berkata, usaha untuk memperkemas sistem percukaian adalah langkah serta proses berterusan yang sentiasa menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan.

“Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menampilkan intipati yang menyeluruh untuk dimanfaatkan oleh hampir semua rakyat negara ini.

“Malah, apa sahaja yang diperkenalkan pada belanjawan turut menyokong segala strategi kerajaan untuk memperkukuhkan sistem cukai ini.

“Sebagai contoh, insentif untuk pelaburan dan insentif cukai bagi membantu sektor berteknologi tinggi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus berkembang,” katanya ketika ditemui Bisnes Metro selepas Forum Belanjawan 2020 di sini, semalam.

Forum berkenaan turut disertai oleh Pengerusi Bukan Eksekutif Axcelasia Taxand Sdn Bhd, Dr Veerinderjeet Singh, Ahli Ekonomi Negara Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof Dr Edmund Terence Gomez, Timbalan Presiden INCEIF, Prof Dr Mansor H Ibrahim dan Pengarah Urusan Sage 3, Ravindran Navaratnam.

Dalam pada itu, Veerinderjeet pada sesi forum itu turut mencadangkan, Kementerian Kewangan (MOF) perlu mengambil langkah untuk mengukuhkan sistem percukaian dengan mentransformasikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Cadangan beliau itu antara lain adalah dengan mengkorporatkan JKDM dan memberi kuasa autonomi kepada agensi terbabit dalam menguruskan perjalanan pentadbirannya mengutip hasil.

“MOF perlu mengkorporatkan JKDM dan memberi peluang kepada mereka untuk memiliki kuasa autonomi sendiri bagi memantapkan sistem cukai negara dan meningkatkan kutipan hasil negara,” katanya.

Kerajaan pada September tahun lalu mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) yang terdiri daripada pengamal dan pakar berpengalaman luas dalam bidang percukaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 7:16 AM