KWSP kaji beri perlindungan KWSP untuk penggiat ekonomi gig.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Kebangkitan ekonomi gig iaitu pilihan orang muda untuk bekerja dalam sektor informal serta peningkatan pekerja bawah kontrak servis menyebabkan ramai tidak diberi perlindungan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Alias berkata, sebagai usaha menangani perkara terbabit, pihaknya sedang mengkaji untuk melanjutkan perlindungan KWSP untuk segmen ini.

“Malah, kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk menawarkan perlindungan ini kepada industri kreatif dan seni persembahan, dilihat sebagai permulaan yang bagus,” katanya pada kenyataan di sini, baru-baru ini.

Di samping itu, Tunku Alizakri berkata, pihaknya melihat Belanjawan 2020 turut menyokong misi dana simpanan persaraan itu dalam memastikan ahlinya dapat membina keutuhan serta menjamin kewangan apabila bersara.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum belanjawan berkenaan mengambil kira perubahan pantas demografik, definisi kerja, persekitaran kerja serta isu kesejahteraan sosial secara umum.

“KWSP menggalas tanggungjawab besar dalam program yang diumumkan oleh kerajaan pada minggu lalu dan mengambilnya sebagai peluang dalam membina Malaysia yang lebih baik.

“Kami akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang terbabit dan untuk melaksanakannya, semua program ini akan diumumkan pelaksanaannya dalam masa yang terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:55 AM