NG (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Kumpulan dan Presiden Kumpulan AIA Ng Keng Hooi (tiga dari kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Medix Sigal Atzmon (tiga dari kiri) pada pelancaran A-Plus MedCare.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: AIA Bhd (AIA) memperkenalkan rider A-Plus MedCare iaitu satu penyelesaian pertama seumpamanya yang memberi akses eksklusif buat pelanggan kepada perkhidmatan Pengurusan Kes Perubatan Peribadi (PMCM) ketika menempuh tempoh yang paling mencabar dalam hidup mereka.

Apabila didiagnosis menghidap penyakit yang serius atau kompleks, pelanggan akan menerima panduan dan sokongan setiap masa daripada pasukan kes perubatan peribadi sepanjang perjalanan perubatan mereka, dari peringkat diagnosis sehingga tempoh rawatan, pemantauan dan seterusnya pemulihan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ben Ng berkata, pengenalan A-Plus MedCare adalah peluang yang penting bagi memberikan pengalaman sebaik mungkin kepada pelanggan di saat mereka memerlukan AIA.

“Perkhidmatan PMCM membuktikan komitmen kami untuk melangkaui model perniagaan insurans tradisional dengan memainkan peranan penting dalam perjalanan hidup pelanggan.

“Seiring dengan perkembangan dan kemajuan teknologi perubatan dan rawatan hari ini, pelanggan berhak menerima dan mengharapkan penjagaan kesihatan khusus dan berkualiti tinggi. Kami gembira menjadi syarikat insurans pertama menawarkan manfaat seumpama ini di Malaysia,” katanya pada kenyataan di sini, baru-baru ini.

Melalui A-Plus MedCare, pelanggan AIA akan mendapat akses kepada penilaian perubatan yang menyeluruh, pemeriksaan semula terhadap penyakit dihidapi dan rujukan untuk ujian diagnostik tambahan jika diperlukan dan konsultasi berterusan dengan pakar perubatan terkemuka daripada pelbagai bidang dari seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, pelanggan diberikan khidmat penyelerasan penjagaan penuh serta dorongan dan sokongan emosi yang berterusan daripada pasukan pengurusan kes perubatan peribadi.

Jika pelanggan disyor mendapatkan rawatan di luar negara berikutan kekurangan kepakaran tempatan dalam bidang tertentu, A-Plus MedCare akan membayar balik kos tiket penerbangan pergi-balik pelanggan dan seorang teman sehingga had keseluruhan sebanyak RM10,000 seumur hidup.

Beliau berkata, pelanggan yang mendapatkan pelan berkaitan pelaburan fleksibel AIA iaitu A-LifeLink 2 dan A-LifeJoy 2 serta pelan A-LifeLink-i, A-LifeJoy-i dan A-Life Fleksi dari AIA Public Takaful boleh menyertakan rider ini sebagai manfaat tambahan kepada polisi atau sijil mereka.

“Pelanggan kemudian layak mendapatkan penilaian semula terhadap kes perubatan mereka oleh pasukan pakar yang terdiri daripada 300 pengamal perubatan dalaman dan rangkaian bertaraf global yang terdiri daripada 3,000 pakar perubatan bebas serta terkemuka.

“Ini adalah untuk memastikan pelanggan mempunyai maklumat sewajarnya untuk membuat keputusan berlandaskan kualiti dan pengetahuan, selain daripada menerima penjagaan perubatan yang sebaik mungkin sepanjang perjalanan perubatan mereka di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:47 AM