INSTITUSI perbankan yakin langkah kerajaan bakal kukuh ekonomi seiring era digital.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Institusi perbankan tempatan menyambut baik pengumuman Belanjawan 2020 yang memberi pelbagai inisiatif, pelan tindakan, langkah fiskal dan insentif untuk menangani pelbagai cabaran di Malaysia khususnya dalam era digital ini.

Pengasas serta Pengerusi Public Bank Bhd, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, pihaknya yakin langkah kerajaan itu mampu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan, mempercepat ekonomi digital, memperkukuh akses pembiayaan perniagaan serta mengukuhkan kepelbagaian ekonomi.

“Kami mengambil maklum kerajaan membangunkan infrastruktur berkaitan untuk menyokong ekosistem dalam memacu pertumbuhan, misalnya, zon ekonomi, pengangkutan, jaringan 5G dan aplikasi digital,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pihaknya melihat penambahbaikan skim pembiayaan oleh kerajaan dan institusi kewangan pembangunan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal merangsang sektor berkaitan untuk terus berkembang.

“Malah, ada inisiatif menggalakkan sektor PKS untuk mendigitalkan operasi mereka. Mungkin apa yang kita boleh tambah dalam bidang ini usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta menggalakkan lagi evolusi ke arah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, sejajar dengan mandat penubuhan bank dan kepercayaan yang diberikan kerajaan, BSN komited menyediakan akses kemudahan perbankan sebagai pengantara kewangan.

“Kami menyambut baik Belanjawan 2020 mengenai pelanjutan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan BSN. Kami sentiasa menyokong inisiatif kerajaan untuk membantu golongan belia memiliki rumah kediaman pertama mereka,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir pula berkata, kerajaan turut memberi tumpuan meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat menerusi pengenalan skim pembiayaan Sewa Untuk Milik (RTO).

“Belanjawan 2020 menampilkan usaha kerajaan dalam menangani cabaran dalam pembiayaan serta kadar penembusan yang rendah dalam kalangan syarikat tempatan untuk teknologi.

“Dalam hal ini, kerajaan memberi perhatian dengan menawarkan insentif supaya PKS mendigitalkan perniagaan mereka, sekali gus mendokong aspirasi dalam menjana sektor ekonomi digital,” katanya.

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, menerusi insentif ditawarkan untuk menarik syarikat global yang terbabit dalam bidang berteknologi tinggi, ia akan memanfaatkan PKS tempatan.

“Malah, galakan kerajaan kepada PKS untuk meneroka bidang digital untuk operasi mereka membolehkan usahawan menceburi segmen eksport sekali gus meningkatkan produktiviti ekonomi Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 7:11 AM