MCDONALD’s bantu penuhi komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia menyasarkan untuk membuka 200 restoran hijau menjelang 2025 sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap usaha kelestarian jangka panjang.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Azmir Jaafar berkata, pihaknya akan melabur sehingga RM60 juta dalam tempoh 5 tahun akan datang menerusi pemerolehan peralatan Tenaga Efisien (EE) dan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) untuk 200 restoran, termasuk cawangan baharu dan yang dinaik taraf.

Katanya, sebagai syarikat dan jenama terkemuka dunia, pihaknya bertanggungjawab untuk memainkan peranan untuk kebaikan manusia dan juga alam sekitar.

“Kami berhasrat menerapkan strategi Scale for Good bagi mencapai matlamat ini di samping membantu memenuhi komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, kami berusaha memastikan 100 peratus restoran kami dilengkapi peralatan EE dan RE,” katanya dalam kenyataan di sini.

Setakat tahun ini, McDonald’s Malaysia mempunyai 54 restoran yang dilengkapi peralatan EE dan RE, membabitkan pelaburan berjumlah RM11.5 juta manakala, 124 restoran melaksanakan sekurang-kurangnya salah satu daripada komitmen inisiatif hijau syarikat.

McDonald’s Malaysia ketika ini mempunyai lebih 280 restoran di seluruh negara.

Azmir berkata, restoran pandu lalu pertama yang lestari sepenuhnya di Setia Alam adalah restoran model dengan ciri lestari yang membantu menjimatkan kos operasi syarikat.

Menurutnya, ciri hijau utama di restoran itu, yang juga akan dipasang secara berperingkat di semua cawangan McDonald’s seluruh negara meliputi Sistem Bumbung Bersepadu dengan Fotovoltan Solar, yang menukarkan cahaya matahari kepada bekalan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 7:02 AM