DASAR fiskal terus diberi penekanan.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dasar fiskal akan terus memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, peningkatan hasil dan perbelanjaan berhemat.

Menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020, kerajaan akan meneruskan pembaharuan institusi fiskal terutamanya insiatif pembaharuan cukai untuk menambah baik pentadbiran cukai, mengukuhkan pengauditan dan penyiasatan serta mengecilkan jurang cukai.

Selain itu, kerajaan akan terus melaksanakan belanjawan berasaskan sifar dalam pengurusan perbelanjaan bagi memastikan ia lebih cekap dan berkesan serta menyusun semula keutamaan program dengan memberi tumpuan kepada projek yang mempunyai impak tinggi.

Laporan itu berkata, usaha ini juga akan terus dipergiat bagi menyediakan pelaporan yang lebih komprehensif mengenai kedudukan aset dan liabiliti.

Hasil kerajaan Persekutuan dijangka mencatat RM244.5 bilion atau 15.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020.

Kutipan hasil cukai adalah lebih tinggi iaitu RM189.9 bilion manakala, hasil bukan cukai RM54.6 bilion.

Sasaran defisit fiskal pada 2020 dijangka meningkat sedikit kepada 3.2 peratus daripada KDNK berbanding sasaran asal tiga peratus seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019 namun masih kekal pada landasan konsolidasi fiskal.

Peningkatan ini disebabkan keputusan strategik kerajaan bagi mengukuhkan aktiviti ekonomi domestik sebagai langkah segera untuk menyokong dan mengekalkan momentum berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 6:42 AM