MALAYSIA raih manfaat besar daripada perubahan rantaian penawaran global.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengawal atau mengurangkan sebarang kesan negatif kepada ekonomi Malaysia yang berpunca daripada pertelingkahan perdagangan yang tidak berkesudahan antara China dan Amerika Syarikat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perang perdagangan antara China dengan AS telah mengorientasikan semula rantaian penawaran global.

“Sebagai destinasi pelaburan berisiko rendah yang kompetitif di rantau ini, Malaysia meraih manfaat yang besar daripada perubahan rantaian penawaran global melalui peralihan pelaburan dan perdagangan disokong oleh kemudahan infrastruktur terbaik, keutuhan kedaulatan undang-undang serta tenaga kerja berkemahiran dan memiliki kebolehan pelbagai bahasa,” katanya dalam prakata laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan asing yang diluluskan pada separuh pertama 2019 meningkat 97.2 peratus kepada RM49.5 bilion berbanding RM25.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sebahagian besar pelaburan asing ini disumbangkan oleh China, Jepun, Singapura dan AS.

“Kerajaan mempromosikan penggunaan teknologi baharu secara meluas di samping menggalakkan pelaburan swasta dalam bidang berteknologi dan bernilai tinggi serta berasaskan pengetahuan bagi memperkukuh daya saing dan meningkatkan peranan negara dalam rantaian penawaran global yang diorientasikan semula.

“Industri 4.0 menjadi pemacu utama pertumbuhan yang akan memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan mampan pada masa hadapan sebagaimana dalam dasar Industry4WRD.

“Transformasi ekonomi digital akan membolehkan kerajaan mempersiapkan generasi muda bagi mendepani masa hadapan,” katanya.

Lim berkata, kerajaan juga sedang menangani jurang kritikal berkaitan ketersambungan digital negara melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi mempercepat penggunaan teknologi IR 4.0 dalam ekonomi.

“Pelan ini memerlukan perbelanjaan infrastruktur digital bernilai RM21.6 bilion untuk tempoh lima tahun mulai 2019 hingga 2024 bagi memperkukuh dan memperluas liputan internet jalur lebar dalam negara di samping meningkatkan kelajuan internet pada harga mampu bayar kepada pengguna dan perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 6:37 AM