DR Mahathir merasmikan pelancaran M+ by Petronas sambil diperhatikan Bee Yin (kiri) dan Wan Zulkiflee (tiga dari kiri).
hmdigital

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melancarkan penyelesaian solar atas bumbung mampu milik, dikenali sebagai M+ by Petronas yang direka khusus untuk kegunaan komersial dan industri.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Tenaga Baharu dan Gas Petronas, Adif Zulkifli berkata, pihaknya percaya dengan memperluas perniagaan, ia akan membantu syarikat untuk maju ke depan sebagai pembekal penyelesaian tenaga bersih.

Beliau berkata, penyelesaian baharu itu juga menandakan kemajuan Petronas dalam membekalkan pilihan tenaga bersih seterusnya mewakili wawasan strategik syarikat untuk menceburi segmen tenaga baharu selain minyak dan gas.

“Menggunakan model perniagaan yang berteraskan pelanggan, M+ by Petronas ini boleh dianggap sebagai mampu milik yang tidak membabitkan kos daripada pelanggan.

“Kami menyediakan penyelesaian dari hujung ke hujung untuk penyelesaian solar atas bumbung ini serta penyelenggaraan percuma dan pengguna hanya perlu membayar caj tarif penggunaan tenaga mereka.

“Malah, penguna tidak terdedah kepada risiko teknikal dan kewangan,” katanya pada majlis pelancaran M+ by Petronas di sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disaksikan Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Ketua Unit Tenaga Baharu, Dr Jay Mariyappan.

Adif berkata, penerokaan Petronas dalam segmen tenaga boleh diperbaharui di peringkat antarabangsa bermula selepas pengambilalihan Amplus Energy Solutions (Amplus) pada April tahun ini.

Menurutnya, syarikat berkenaan mempunyai kapasiti melebihi 600 MW di bawah operasi dan pembangunan merentasi 300 lokasi yang kebanyakannya di India.

“Dengan pengalaman 45 tahun yang dimiliki Petronas dalam sektor tenaga berserta kepakaran Amplus menerusi tenaga boleh diperbaharui, ia membolehkan produk pertama kami, M+ by Petronas lebih cekap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 6:40 AM