hmdigital

KUALA LUMPUR: Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) mengesahkan syarikat itu sudah memperbaharui cadangan untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (Plus) dengan menawarkan pengurangan kadar tol daripada 25 peratus kepada 36 peratus.

Menurut jurucakapnya, pihak Maju Holdings turut mencadangkan untuk menanggung pengurangan tol sepenuhnya dan tidak akan mendapatkan pampasan kewangan daripada pihak kerajaan berkenaan perkara ini.

“Kerajaan ketika ini berhutang dengan Plus berjumlah RM2.7 bilion membabitkan pampasan tol dan sekiranya Maju Holdings mengambil alih Plus, kami dengan sukacitanya memaklumkan kami tidak akan lagi memegang tanggungjawab kerajaan ke atas hutang ini.

“Jadi, kami ingin mengulangi, kerajaan akan jimat RM2.7 bilion kerana Maju Holdings akan menyerap jumlah pampasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, dengan tawaran terkini dikemukakan kepada kerajaan, pemegang saham sedia ada Plus turut mendapat manfaat dengan anggaran Kadar Pulangan Dalaman (IRR) ekuiti sekitar 16 peratus.

Katanya, kadar itu mewakili pulangan yang mengatasi kos ekuiti untuk majoriti konsesi lebuh raya bertol yang lain merentasi peringkat global juga di Asia Tenggara.

“Sebagai sebahagian daripada cadangan yang kami ulangi beberapa kali, Maju Holdings komited untuk melabur RM5.3 bilion yang mana ia merangkumi seluruh lebuh raya bersama dengan tambah baik yang diperlukan,” katanya.

“Rekod prestasi kami dalam menguruskan jalan bertol membuktikannya sendiri. Kami juga berjaya mengendalikan Lebuhraya MEX dengan kecekapan kos yang berkesan berbanding Plus yang sepatutnya mendapat keuntungan daripada skala ekonomi.

“Kami juga mempunyai salah satu kos terendah setiap kilometer di negara ini, menjadikan kami lebih yakin akan dapat mengurangkan kos penyelenggaraan untuk Plus,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga ingin menegaskan kepada pembuat dasar dan rakyat Malaysia bahawa Maju Holdings yakin tawarannya adalah menarik serta tidak akan membebankan.

“Maju Holdings juga ingin mengulangi bahawa nilai enterpris untuk membeli PLUS adalah termasuk hutang terkumpul kepada pemegang bon pada paras RM34.9 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 6:40 AM
Skip this ad x