BELANJAWAN 2020 bakal menyaksikan intipati menyeluruh yang akan memanfaatkan segenap lapisan masyarakat di negara ini. FOTO Asyraf Hamzah
ABD Aziz
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini bakal menyaksikan intipati menyeluruh yang akan memanfaatkan segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar berkata, belanjawan itu juga dilihat begitu penting kerana ia siri bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang bermula pada 2016 hingga 2020.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, asas serta tonggak utama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) juga diterapkan pada Belanjawan 2020.

“Pembentangan kali ini kali kedua kerajaan Pakatan Harapan akan membentangkan dasar serta apa yang akan dilaksanakannya dalam menerajui hala tuju pembangunan di negara ini.

“Malah, ia sebagai asas kepada kesinambungan untuk pelaksanaan RMK-12 pada tempoh antara 2021 hingga 2025 yang turut menjadikan WKB2030 sebagai panduan.

“Apa yang pasti, kerajaan menerusi Belanjawan 2020 bakal memberi penekanan terhadap manfaat yang akan diperoleh segenap lapisan masyarakat serta lebih serius dalam mengenal pasti keperluan rakyat,” katanya.

Abd Aziz berkata, antara perkara yang berkemungkinan diberi perhatian oleh kerajaan termasuklah mengurangkan kos sara hidup dan kadar gaji di Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan langkah kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,100 pada tahun lalu, berkemungkinan jumlah yang lebih tinggi akan diumumkan pada belanjawan ini.

Katanya, usaha itu juga bermaksud kerajaan mahu meningkatkan produktiviti selain membantu dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat yang kian meningkat.

“Mengikut manifesto, kerajaan menawarkan kadar gaji minimum RM1,500 kepada rakyat dalam tempoh lima tahun dan usaha menaikkannya secara berperingkat adalah lebih tersusun dan cekap.

“Jadi, dalam Belanjawan 2020 ini, saya melihat jumlah yang lebih tinggi dan relevan dengan situasi semasa akan diumumkan dan membantu meningkatkan taraf hidup golongan tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu kos sara hidup, katanya, ia turut membabitkan pengawalan kos dan harga barang yang dijual di pasaran dan ia perlu ditangani secara berkesan oleh kerajaan.

“Apa yang boleh dilakukan adalah, kerajaan perlu lebih tegas untuk menghapuskan jurang rantaian bekalan ataupun kewujudan orang tengah dalam perniagaan.

“Sebenarnya, apabila perkara seperti ini dihapus atau dikurangkan, ia dapat memberikan harga barang yang lebih murah kepada rakyat contohnya seperti barang yang dijual di pasar harian,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 7:03 AM