POIGNANT (empat dari kiri) bersama wakil penjual dalam talian pada pelancaran Sidang Kemuncak Lazada ‘WECOMMERCE 2019’.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Platform e-dagang terkemuka Malaysia, Lazada merekodkan peningkatan 97 peratus bagi pendaftaran peniaga baharu sejak September 2018.

Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee berkata, peningkatan pendaftaran peniaga tertinggi dicatatkan dari negeri Kelantan, Labuan dan Kedah dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 137 peratus, 121 peratus dan 116 peratus.

Katanya, Lazada komited untuk terus memperkasa komuniti melalui e-dagang dengan menyediakan teknologi, penyelesaian terbaik dan ilmu pengetahuan kepada peniaga bagi membantu memperkembang perniagaan usahawan dan ekonomi digital.

“Dalam membina satu komuniti penjual yang kondusif dan pelbagai di seluruh negara, Lazada juga membangunkan komuniti khas untuk peniaga di Facebook dan ia kini disertai hampir 80 peratus ahli baharu.

“Selain itu, Lazada Malaysia juga telah mewujudkan lebih 1,000 drop points di seluruh negara dengan 480 daripadanya di sekitar Lembah Klang.

“Kami turut giat menjalankan pelbagai inisiatif serta memperkenalkan inovasi baharu untuk berkomunikasi dengan pengguna,” katanya sempena pelancaran Sidang Kemuncak Lazada Wecommerce 2019 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lazada, Pierre Poignant dan Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow.

Lazada memperkenalkan Wecommerce dengan konsep New Retail (Peruncitan Baharu) iaitu konsep cara membeli-belah masa hadapan melalui teknologi terkini sokongan daripada Alibaba.

New Retail ini menampilkan konsep untuk penjual berkomunikasi bersama pelanggan melalui integrasi dari luar talian terus ke dalam talian bagi pengalaman beli-belah yang baharu.

Kevin berkata, sebagai peneraju Wecommerce dan menyokong pertumbuhan pantas peniaga yang bakal mengubah industri perniagaan, Lazada telah menyediakan latihan secara langsung selama lebih 530 jam meliputi 132 sesi yang telah dihadiri oleh 7,000 peniaga sejak tahun lalu.

Beliau berkata, persidangan Wecommerce ini menampilkan pakar sektor perniagaan dan e-dagang, pedagang global, penjual dan usahawan serantau yang berkongsi amalan terbaik serta mempertingkatkan kemahiran melalui perisian analitik dan latihan.

“Peserta berpeluang menemui pembekal dan peniaga dari negara Asean, China, Jepun, Australia dan New Zealand untuk membincangkan keperluan perniagaan dan memperluas rangkaian mereka melalui peluang padanan perniagaan yang diadakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 6:30 AM