Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


SERI KEMBANGAN: Kewujudan pelbagai segmen e-dagang di Malaysia mengubah landskap beli-belah rakyat negara ini sekali gus memberikan prospek cerah khususnya terhadap pembangunan dari segi ekonomi digital.

Penerimaan yang mantap terhadap platform beli-belah secara dalam talian dan mudah alih ini bukan saja memberi keseronokan kepada pengguna, malah turut merangsang kemunculan usahawan alaf baharu.

Malah, berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dilancarkan baru-baru ini turut menggariskan ekonomi digital sebagai antara pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Mengulas mengenai perkara ini, Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia, Mohd Azrul Mohd Nor berkata, kehadiran perniagaan secara dalam talian atau e-dagang memberi banyak kesan dalam ekonomi digital khususnya usahawan.

Katanya, perkembangan pantas dan pesat dunia teknologi menjadikan usahawan tempatan perlu berkerja keras untuk bergerak seiring dengan perubahan ini untuk terus kekal relevan dalam dunia perniagaan semasa.

“Situasi seperti ini sebenarnya membentuk cabaran yang perlu diatasi oleh golongan usahawan kita iaitu mengadaptasikan teknologi yang pelbagai supaya bersesuaian dengan bisnes semasa.

“Isu paling utama adalah bagaimana usahawan mahu mengambil peluang dan mencuba teknologi dalam memantapkan perniagaan mereka. Mereka perlu cepat dalam hal ini,” katanya dalam satu temu bual bersama Bisnes Metro di sini.

Mengenai cabaran itu, Mohd Azrul berkata, usahawan tempatan, khususnya Bumiputera perlu cekap dalam membuat unjuran mengenai apa yang akan berlaku dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

Katanya, perubahan pantas dunia teknologi bukan perkara yang boleh diambil mudah sebaliknya mereka seharusnya menjadikannya sebagai batu loncatan untuk terus berjaya dalam dunia ekonomi digital ini.

“Kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), data raya, robotik serta Revolusi Perindustrian 4.0 memerlukan usahawan terus merangka pelan perniagaan yang komprehensif dan berdaya maju.

“Ini adalah untuk memastikan kemampan, survival dan daya tahan dalam landskap dunia perniagaan dalam talian yang semakin pantas berubah,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, apabila menyentuh mengenai teknologi, sudah tentu perkara berkaitan kos turut menjadi keutamaan yang mana ia diperlukan bagi menaik taraf fasiliti dan infrastruktur bagi menyokong perniagaan.

Justeru, katanya, kerajaan perlu mengambil peranan menyediakan bantuan seperti insentif kepada golongan usahawan supaya mereka dapat meneruskan survival dalam bidang perniagaan digital ini.

“Sebagai contoh, dengan teknologi 5G yang dibangunkan ketika ini, usahawan mesti mempersiapkan perkakasan yang bersedia untuk digunakan bersama.

“Jadi, di sinilah kerajaan boleh membantu dengan menyuntik insentif dari segi kewangan atau pelepasan cukai untuk dimanfaatkan usahawan dalam bidang ekonomi digital ini,” katanya.

Mengulas mengenai WKB 2030, Mohd Azrul berkata, usaha kerajaan itu juga sebenarnya membantu ekosistem serta mekanisme e-dagang itu sendiri berkembang secara meluas.

“Ia sebenarnya adalah kesan teknologi itu sendiri yang mana seperti dompet elektronik, ia dapat membantu untuk merangsang masyarakat beralih kepada komuniti nirtunai.

“Selain itu, ia sedikit sebanyak membantu usahawan meluaskan capaian ke peringkat global dan tidak menjadi jaguh kampung saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 3:10 PM