Oleh Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: RinggitPlus, platform perbandingan kewangan terkemuka di Malaysia menyarankan kerajaan memperkenalkan lebih banyak dasar yang mampu memberi penjimatan kepada rakyat dalam Belanjawan 2020.

Belanjawan 2020 yang dinanti-nantikan rakyat akan dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat, 11 Oktober ini di Parlimen.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Liew Ooi Hann berkata, dasar yang memberi penjimatan itu adalah seperti usaha kerajaan pada Belanjawan 2019 yang mengumumkan peningkatan kadar pengecualian cukai untuk simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) daripada RM6,000 kepada RM8,000.

Beliau berkata, sekiranya dasar sedemikian dapat diterus dan diperkenalkan kerajaan pada belanjawan pada kali ini, ia bakal memberi peluang kepada rakyat untuk menyimpan dengan lebih banyak.

“Malah, dengan persekitaran dan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini, penting kepada Malaysia untuk terus mengekalkan dan memperkukuh kestabilan dasar.

“Antaranya seperti usaha membabitkan dasar percukaian yang dilihat sebagai penting bagi menjamin kemakmuran ekonomi negara.

“Jadi, saya harap kerajaan tidak akan mengubah dasar ini sesuka hati dan segala dasar diputuskan pada tahun lalu perlu dikekalkan meskipun berlaku ketidaktentuan dalam landskap ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2019 di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Ooi Hann berkata, kerajaan perlu konsisten dengan dasar percukaiannya kerana sebarang perubahan dasar memberi gambaran negatif kepada Malaysia.

Menurutnya, kerajaan perlu mengekalkan dasar ekonomi semasa sebagai usaha menyediakan persekitaran yang stabil dan mewujudkan sentimen lebih baik untuk pasaran global.

Katanya, dalam menentukan sama ada kekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau memperkenalkan semula GST, kerajaan harus memberi perhatian kepada kestabilan sistem cukai secara keseluruhannya.

“Pada ketika berlakunya ketidaktentuan dalam suasana ekonomi global, kestabilan dasar cukai yang kukuh adalah kunci utama kepada kemampanan negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 7:01 AM