MOHAMED Azmin.
Oleh Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Pengiraan saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM3.4 trilion menjelang 2030 seperti yang disasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) adalah pada harga semasa yang mengambil kira kesan inflasi.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan berkata, untuk mencapai sasaran nilai itu, KDNK perlu berkembang pada harga tetap 4.7 peratus setahun bagi tempoh 2018 hingga 2030 dengan kadar inflasi purata 2.3 peratus pada tempoh itu.

Dalam kata lain, menurutnya, sasaran itu boleh dicapai dengan pertumbuhan pada harga semasa sebanyak tujuh peratus setahun juga pada tempoh sama.

“Dalam menjelaskan sasaran pertumbuhan KDNK seperti yang dinyatakan dalam WKB2030, adalah penting untuk memahami dua konsep iaitu ukuran KDNK dalam harga nominal/semasa dan harga malar/tetap.

“Pengukuran KDNK pada harga semasa mengambil kira kesan kadar inflasi manakala pengukuran yang sama dalam harga malar pula tidak mengambil kira kesan kadar inflasi yang mana ia mencerminkan peningkatan dalam nilai ditambah atau output sebenar.

“Secara lazimnya, nilai KDNK dinyatakan dalam harga nominal manakala kadar pertumbuhan KDNK pula pada harga tetap,” katanya.

Mengulas lanjut, kementerian itu berkata, dokumen WKB2030 secara jelasnya membezakan perkara itu mengikut dua pengukuran berkenaan.

Katanya, ia juga selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas pelancaran wawasan itu.

WKB2030 yang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu hala tuju baharu negara bagi menangani pelbagai cabaran dalam tempoh dekad akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 10:11 AM