LIM menunjukkan pelbagai produk elektronik keperluan rumah yang ditawarkan Senheng.
Oleh Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Rangkaian kedai elektronik pengguna terkemuka, Senheng Electric (KL) Sdn Bhd (Senheng) yakin segmen telefon pintar dapat menyumbang kepada pertumbuhan jualan yang memberangsangkan kepada syarikat itu.

Pengarah Urusannya, Lim Kim Heng berkata, tahun ini, pihaknya mengunjurkan jualan dari segmen terbabit dapat berkembang sekitar 28 hingga 30 peratus.

Beliau berkata, peningkatan itu adalah bersandarkan kepada permintaan tinggi terhadap penggunaan dan pelancaran pelbagai telefon pintar baharu oleh jenama terkemuka.

“Berdasarkan maklum balas yang sangat baik daripada pelanggan, kami yakin bahawa perniagaan dan jualan dari kategori jualan pintar ini akan terus berkembang pesat.

“Keyakinan yang kukuh daripada jenama telefon pintar juga menjadi faktor pemangkin kepada perkara ini dan pada tahun depan, kami melihat ia mampu mencapai jualan sehingga 32 peratus,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas mengenainya, Lim berkata, Senheng menawarkan pelbagai jenis produk telefon pintar bagi memenuhi segmen pelanggan yang berbeza-beza.

“Senheng mempunyai banyak jenama popular seperti Oppo, Samsung, Huawei, vivo, Honor, Realme dan Apple dalam memberikan lebih banyak pilihan.

“Telefon pintar adalah perniagaan yang baik pada masa ini kerana ia digunakan secara meluas malah penggunaannya disukai oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, katanya, Senheng berharap akan terus menjalin kerjasama bersama jenama telefon pintar popular kerana mereka mempunyai peminatnya yang tersendiri.

“Usaha sama Senheng sebagai kedai elektronik pengguna adalah penting bagi memastikan pengguna dapat menikmati tawaran produk sebaik-baiknya dan berdasarkan kehendak mereka,” katanya.

Tambahnya, sekiranya ia dilakukan dengan tepat, ia mampu meneroka potensi dalam mewujudkan pasaran serta pelanggan baharu dalam segmen ini.

Selain telefon pintar, Senheng turut menawarkan pelbagai produk elektronik keperluan rumah yang lain seperti televisyen, mesin basuh dan peti sejuk.

Syarikat itu ketika ini mempunyai 112 cawangan di seluruh negara yang turut disokong oleh 10 gudang bagi melicinkan operasi logistik dan sistem penghantarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 9:14 AM