SCHIESSER (empat dari kiri) bersama pemenang peraduan DuitNow.
Bisnes HM
bisnes@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) merekodkan lebih 7.5 juta pelanggan yang berdaftar dengan DuitNow sejak 10 bulan perkhidmatan pembayaran elektronik itu diperkenalkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Schiesser berkata, transaksi bulanan DuitNow juga menyaksikan pertumbuhan 5.8 kali antara Januari hingga September lalu.

Katanya, untuk memastikan momentum berkenaan dapat diteruskan, pihaknya turut memperkenalkan peraduan baharu yang menawarkan tiga motosikal Yamaha Y15ZR dan 80 kosmetik Borderless Alha Alfa.

“Peraduan ini berlangsung mulai 22 September hingga 31 Oktober ini dan setiap pelanggan layak menyertai peraduan ini apabila mereka memindahkan wang dengan DuitNow.

“Kami menggalakkan lebih ramai rakyat di negara ini menggunakan kemudahan DuitNow dan rebut peluang hadiah menarik yang ditawarkan,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Peraduan Pelancaran DuitNow di sini, semalam.

Pada edisi sebelum ini, PayNet menjalankan peraduan selama lima bulan bermula 8 Januari hingga 31 Mei lalu yang melayakkan lima pemenang membawa pulang kad hadiah IKEA bernilai RM20,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 7:42 AM