FAN (kiri) pada majlis pelancaran kad kredit Lazada Citi, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Penyedia khidmat kredit terbesar di Asia Pasifik, Citi dan Lazada memperkenalkan kad kredit Lazada Citi menjadikannya kad kredit e-dagang pertama di Asia Tenggara.

Pengurus Perniagaan Bahagian Pengguna Citi Malaysia, Elaine Fan berkata, pihaknya menyasarkan lebih 500,000 permohonan kad baharu di rantau ini dalam tempoh setahun akan datang.

Katanya, Malaysia menjadi lokasi pertama pengenalan kad kredit Lazada Citi itu, diikuti pasaran serantau lain dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Kami mengorak selangkah ke hadapan untuk sektor perkongsian jenama kad kredit kerana ia gabungan kerjasama antara satu jenama e-dagang yang hebat dan satu platform kewangan global yang kukuh.

“Sebagai bank digital premier global, kami komited membawa inovasi dan penyelesaian terbaik perbankan digital untuk pelanggan,” katanya pada sidang media pelancaran kad kredit Lazada Citi di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Diana Boo berkata, pihaknya menyasarkan 40 peratus transaksi kad kredit ini digunakan bagi pembelian di platform Lazada.

“Sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadi peneraju destinasi gaya hidup untuk rakyat Malaysia, Lazada terus membawakan inovasi menggabungkan pelbagai ganjaran dan pengalaman beli-belah hebat.

“Dengan tema Play it Up, kad kredit Lazada Citi adalah pilihan tepat dan diyakini mampu mendekati pelanggan daripada golongan muda yang menjadi majoriti pengguna platform e-dagang di rantau ini,” katanya.

Pemegang kad bakal menikmati 10 kali mata ganjaran dengan tambah nilai di Lazada Wallet, selain menikmati pulangan tunai hingga 20 peratus dan 1,000 mata ganjaran bonus setiap bulan bagi perbelanjaan runcit minimum RM1,500.

Permohonan baharu dalam talian juga menikmati baucar Lazada hingga RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 7:36 AM