CAWANGAN terbaharu Costa Coffee di Sunway Pyramid.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Cawangan Costa Coffee di pusat beli-belah Sunway Pyramid meraih gelaran Reka Bentuk Terbaik Keseluruhan pada Forum Tahunan Reka Bentuk Kedai Costa Coffee Global di London, United Kingdom, baru-baru ini.

Sunway Pyramid adalah satu daripada enam lokasi baharu cawangan Costa Coffee yang baru dibuka di Malaysia.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, forum terbabit meraikan kreativiti dan inovasi daripada lebih 3,820 kedai Costa Coffee seluruh dunia dan pengiktirafan diterima cawangan di Sunway Pyramid itu juga dianggap sebagai pencapaian luar biasa.

Menurutnya, cawangan Costa Coffee di pusat beli-belah itu ketika ini adalah yang terbesar di Malaysia yang mana ia adalah Costa Coffee kedua di dunia dan pertama di Asia Tenggara memiliki bar bru.

Pengarah Gapurna Permai Sdn Bhd (GPSB), Nor Izzati Mohamad Salim berkata, pihaknya bangga dengan pengiktirafan daripada anugerah terbabit.

Katanya, pengiktirafan itu juga adalah sebagai pemangkin kepada pihaknya dalam menawarkan kedai yang lebih kreatif dan berinovasi khusus kepada pelanggan untuk menikmati pengalaman lebih baik.

“Kami bangga kerana dapat meraih pencapaian yang begitu signifikan sepanjang membangunkan jenama Costa Coffee di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Costa Coffee mula diperkenalkan di Malaysia melalui Gapurna Permai Sdn Bhd (GPSB), pemegang francais induk Costa Coffee di Malaysia yang dilantik Costa Coffee PLC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 7:21 AM