DARI kiri, Wan Saifulrizal, Nor Azman, Yunos dan Mujibburrahman pada majlis pelancaran BSN Fitrah, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan 15,000 pemegang sijil BSN Fitrah, pelan perlindungan mampu milik serendah RM50 sebulan menjelang 2020.

Produk yang ditawarkan dengan kerjasama Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) itu boleh diubah suai untuk melindungi pelanggan dan keluarga.

Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, sebanyak 1,500 pemegang sijil melanggan BSN Fitrah sejak mula dijual 9 Ogos lalu.

“Kami komited menyediakan pelanggan dengan perlindungan mampu milik dan menyeluruh bagi membantu mereka melakukan perancangan sewajarnya.

“Kami percaya BSN Fitrah dapat memberi pilihan kepada pelanggan memiliki pelan perlindungan relevan,” katanya selepas pelancaran BSN Fitrah di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Nor Azman Zainal dan Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail.

BSN Fitrah menawarkan tempoh manfaat fleksibel selama lima, 10 atau 20 tahun dan tempoh tamat usia 70 atau 100 serta turut dilengkapi manfaat tambahan yang pelbagai untuk membantu pelanggan membina pelan perlindungan mengikut keperluan dan bajet mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:20 AM