IKEA Batu Kawan, Pulau Pinang.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: IKEA Asia Tenggara, satu daripada 12 pemegang francais IKEA di dunia, buat kali pertama mencatatkan hasil tahun ke tahun sebanyak RM3.7 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos lalu, meningkat 20 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

IKEA Asia Tenggara memiliki dan mengendalikan kedai dan platform e-dagang IKEA di tiga pasaran yang aktif iaitu Malaysia, Singapura dan Thailand.

Pengarah Urusan IKEA Asia Tenggara, Christian Rojkjaer berkata, operasi di Malaysia menyumbang RM1.5 bilion, diikuti Thailand (RM1.2 bilion) dan Singapura (RM1 bilion).

“Prestasi membanggakan ini menunjukkan kedai dan pusat beli-belah IKEA mempunyai potensi hebat untuk berkembang dan memberi perbezaan kepada orang ramai, dengan menjadikan kehidupan lebih selesa dan mampan, pada harga berpatutan.

“Kami berdepan dengan persaingan yang kian meningkat dalam pasaran dan citarasa pelanggan yang berubah-ubah,” katanya.

Menurutnya, perubahan itu memberi peluang untuk IKEA mengukuhkan lagi visi dalam mewujudkan kehidupan seharian yang lebih baik untuk pelanggan.

“Matlamat kami adalah untuk sentiasa menawarkan produk terbaik dalam pasaran agar semua orang boleh mencari produk dan penyelesaian yang mereka perlu pada harga berpatutan.

“Walaupun dalam waktu sukar, IKEA masih mempunyai sesuatu untuk semua orang tanpa mengira kemampuan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

IKEA Asia Tenggara adalah sebahagian daripada Ikano Group.

Ia memiliki dan mengendalikan gedung-gedung IKEA di Malaysia, Singapura dan Thailand.

Di Malaysia, ia mengendalikan IKEA Damansara dan IKEA Cheras di Lembah Klang, IKEA Tebrau di Johor serta IKEA Batu Kawan di Pulau Pinang. Ia juga memiliki pusat beli-belah IPC dan MyTOWN.

Pusat beli-belah Toppen, yang bakal menjadi tarikan utama bagi IKEA Tebrau, akan dibuka pada 13 November depan.

Dalam pada itu, menurutnya dua gedung baharu di bawah kendalian IKEA Asia Tenggara kini dalam proses pembinaan iaitu di Filipina dan Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 11:30 AM