PROTON Saga 2019 diperkenalkan sempena majlis perasmian Proton Saga 2019 di MATIC.

KUALA LUMPUR: Dengan prestasi Proton yang lebih baik pada tahun ini dan syarikat dijangka pulih semula, DRB Hicom diunjurkan meraih manfaat.

AmInvestment dalam nota penyelidikannya berkata, pelan Proton untuk pemasangan tempatan X70 di kilangnya di Tanjung Malim akan dilaksanakan dengan komponen tempatan awal sekurang-kurangnya 30 peratus dan kumpulan itu merancang untuk meningkatkan komponen tempatan kepada 70 hingga 80 peratus menjelang 2023.

“Kami melihat ini positif berikutan ini akan menyebabkan kos lebih rendah dan mengurangkan turun naik pertukaran asing dalam pembuatan X70 dalam jangka masa panjang, membawa kepada margin keuntungan yang lebih baik untuk model SUV popular itu,” katanya.

Katanya, pengenalan X50 CKD pada separuh kedua tahun depan dijangka meningkatkan lagi jualan Proton dan berdasarkan keputusan semasanya, Proton mencatatkan pendapatan positif untuk tempoh dua suku tahun yang lalu.

“Kami menganggap ini disebabkan jumlah jualan yang menarik berikutan pelancaran baharu X70, Iriz, Persona dan Saga pada 2019 yang mendapat sambutan baik,” katanya.

Jumlah jualan Proton setakat ini untuk 2019 adalah sebanyak 69,700 unit berbanding 49,200 unit dalam tempoh lapan bulan pertama tahun lalu, yang bersamaan dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 42 peratus.

“Digabung dengan momentum kukuh yang berterusan bagi model itu, kami menjangka Proton akan kembali pulih pada tahun kewangan penuh 2019.

“Kami percaya pemulihan Proton adalah perlahan tetapi pasti menjadi kenyataan melalui momentum jumlah jualan yang mengagumkan apabila kumpulan itu mendapat semula keyakinan dan kepercayaan pengguna terhadap jenama Proton,” katanya.

DRB Hicom adalah pemegang saham majoriti dalam pengeluar kereta nasional itu yang memiliki 50.1 peratus, manakala syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd memegang baki pegangan sebanyak 49.9 peratus.

Katanya, selain Proton, cabang pertahanan DRB, Deftech kini sedang berunding berhubung kontrak baharu.

“Kontrak Deftech yang membekalkan kenderaan berperisai AV-8 akan berakhir tidak lama lagi iaitu pada 2020. Pengurusan DRB-Hicom memberitahu kontrak baharu sedang dirundingkan dengan tentera Malaysia.

“Bagaimanapun, tiada butiran mengenai jenis produk. Kami percaya tiada masalah akan timbul dalam mendapatkan kontrak baharu berikutan Deftech kekal sebagai monopoli tempatan untuk membekalkan peralatan dan kenderaan pertahanan kepada tentera Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 11:00 AM