PENGERUSI DRB-HICOM, Datuk Mhd Zainal Shaari (dua dari kiri) bersama Syed Faisal Albar (dua dari kanan), Dr Li (kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed pada pelancaran logo baharu Proton.
Alzahrin Alias
bisnes@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd (Proton) berada di landasan tepat bagi mencatatkan pulangan modal menjelang akhir tahun ini, sekali gus kembali menjana keuntungan pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, sasaran itu juga seiring dengan perancangan jangka sederhana Proton yang menyasarkan jualan 400,000 unit setahun pada 2027.

Beliau berkata, sasaran jualan itu juga membolehkan Proton menjadi pengeluar automotif nombor satu di Malaysia dan berada di kedudukan tiga teratas pasaran Asean.

Pengeluar automotif tempatan itu juga sehingga Ogos lalu mencatatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 36.5 peratus kepada 61,396 unit daripada 45,062 unit yang dicatatkan pada 2018.

Sementara itu, Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, bagi memastikan sasaran Proton itu dapat direalisasikan, pasaran eksport turut akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Ketika ini kita meneliti dan mengkaji pasaran eksport yang berpotensi dari segala aspek. Buat masa ini Proton memasuki Pakistan dan Brunei, namun ia tidak berhenti di situ, kita akan meninjau pasaran negara lain.

“Kita tidak mahu kehadiran Proton dari sudut jualan semata-mata tetapi juga meningkatkan kehadiran dan jenama Proton itu sendiri.

“Jika kita mempunyai produk berkualiti dan perkhidmatan terbaik, kita boleh eksport lebih. Sebab itu banyak aspek perlu diteliti terlebih dulu.

“Proton sudah membuktikan peningkatan berbanding sebelum ini tetapi masih banyak perkara perlu kita tingkatkan lagi,” katanya selepas pelancaran logo dan slogan baharu Proton di sini, semalam.

Kerjasama strategik yang dijalankan Proton dengan Zhejiang Gelly Holding Group pada 2017 berjaya mewujudkan peningkatan berganda dari setiap aspek termasuk lima model baharu dilancarkan dalam tempoh lapan bulan ini.

Dr Li berkata, pengenalan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 dan model naik tarafnya pada 2018 dan 2019 berjaya mewujudkan semula minat orang ramai kepada Proton.

Beliau berkata, usaha berterusan itu membolehkan Proton menduduki kedudukan kedua dari segi jualan kenderaan di pasaran Malaysia pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 11:30 AM