DR Azman mencipta Global Zakat Game: Bijak Zakat.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


NEGERI SEMBILAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berhasrat mencari rakan strategik bagi meluaskan rangkaian produk papan permainan Islamiknya, Global Islamic Games (GIG) di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Timbalan Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia INFAD USIM, Prof Madya Dr Azman Ab Rahman berkata, setakat ini pihaknya hanya memiliki beberapa pengedar bagi memasarkan produk GIG di pasaran tempatan.

“Untuk pasaran luar negara, GIG memasuki pasaran Brunei, Singapura dan Indonesia pada tahun lalu dan ia menerima sambutan menggalakkan negara terbabit.

“Bagaimanapun, kami berhasrat bagi mengukuhkan kedua-dua pasaran ini berikutan banyak potensi boleh diterokai. Oleh itu, kami amat mengalukan pihak dan rakan strategik yang berminat bagi memasarkan GIG iaitu produk pertama seumpamanya di pasaran,” katanya pada Bisnes Metro di sini.

GIG adalah produk papan permainan Islamik yang menampilkan konsep permainan ilmiah berasaskan Islam di mana ia dihasilkan berdasarkan sukatan Pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah.

Setakat ini, GIG menampilkan koleksi papan permainan seperti Global Zakat Games (GZG) pada 2017, Global Faraid Games (GFG) pada 2018 dan Global Halal Games (GHG) pada 2019.

Beliau berkata, pihaknya merancang memperkenalkan lebih banyak siri permainan GIG termasuk Global UmrahHaji Games (GUG) dan Global Arabic Games (GAG) menjelang tahun depan serta sirah Islam dalam tempoh jangka panjang.

“Kami juga akan menghasilkan GIG dalam pelbagai bahasa seperti Malaysia, Inggeris, Arab dan Jawi dalam memastikan produk ini mampu dipasarkan di pelbagai negara luar pada masa akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, Azman berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 1,000 unit bagi setiap siri permainan GIG iaitu GZG, GFG dan GHG dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 10:30 AM