TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melihat Atur Mobira (telefon mudah alih) yang dipamerkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa semalam selepas melancarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara. Menemani beliau adalah Gobind (kiri) dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak (kanan).
Oleh Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


TENAGA Nasional Berhad (TNB) berpotensi menjadi antara peserta telekomunikasi terpenting negara khususnya dalam segmen jalur lebar borong di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, syarikat utiliti negara itu turut menunjukkan minat untuk menceburi dalam industri telekomunikasi secara serius.

Beliau berkata, TNB mempunyai peranan penting dalam membantu membangunkan sektor ini kerana mereka mempunyai infrastruktur yang meluas di Semenanjung.

Menurutnya, TNB juga sebelum ini mengadakan perbincangan bersama pihak kementeriannya berhubung perkara ini khususnya projek rintis yang dilaksanakan di Jasin, Melaka.

“Pihak TNB turut memaklumkan kepada saya bahawa inisiatif telekomunikasi terbaharu mereka antaranya termasuklah untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 11,000 rumah di Melaka.

“Selain Melaka, mereka juga menunjukkan minat untuk memperkenalkan servis yang sama di Kedah, Perak dan Johor serta berharap TNB dapat melihat potensi sama untuk negeri lain,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenainya, Gobind berkata, projek perintis di Melaka itu memberikan hasil menarik yang mana ia membuktikan TNB mampu meneroka sektor telekomunikasi dengan menggunakan infrastrukturnya.

“Kerajaan juga akan mengambil kira kemampuan TNB untuk menjayakan inisiatif NFCP berdasarkan keupayaan mereka menyediakan khidmat jalur lebar kepada kediaman di beberapa kawasan.

“Malah, syarikat utiliti itu juga mempunyai potensi dalam membantu kerajaan untuk menjayakan inisiatif NFCP seperti mana perkhidmatan satelit dan sebagainya dalam mengembangkan infrastruktur dengan cepat pada kos rendah,” katanya.

NFCP adalah inisiatif berteraskan dasar dan projek yang mana ia termasuk pembangunan dasar seperti mengatasi halangan yang boleh menjejaskan pembangunan infrastruktur.

Secara keseluruhan, kos pelaksanaan NFCP dianggarkan berjumlah RM21.6 bilion untuk tempoh 5 tahun di mana antara RM10 bilion hingga RM11 bilion akan diperuntukkan daripada dana Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dan selebihnya dibiayai secara komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:24 AM